
Ringgit susut.
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini (23 September 2022), susulan kekurangan momentum belian kerana permintaan terhadap dolar AS kekal kukuh berikutan status tempat selamatnya, kata seorang peniaga.
Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan jatuh kepada 4.5670/5710 berbanding dolar AS daripada 4.5660/5695 pada penutup semalam.
Pedagang ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, kenaikan kadar faedah AS baru-baru ini adalah isyarat bahawa bank pusat AS itu akan meneruskan dasar monetarinya yang ketat untuk membendung kemaraan inflasi.
“Jangkaan pasaran ialah Rizab Persekutuan (Fed) akan terus mengetatkannya sehingga akhir tahun, di mana kadar faedah mungkin antara 4.0 peratus dan 4.5 peratus.
“Dolar mungkin terus meningkat berbanding ringgit sehingga ia menghampiri 4.6000,” katanya menurut Bernama.
Namun, dari sudut teknikal, Diniz menyatakan bahawa dolar berada dalam situasi terlebih beli berbanding ringgit, yang memerlukan perhatian kepada pelabur yang bertaruh pada kedua-duanya.
Pada pembukaan pagi ini, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia susut berbanding yen Jepun kepada 3.2139/2172 daripada 3.1890/1919 pada penutup semalam dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2207/2238 daripada 3.2196/2225.
Bagaimanapun, mata wang tempatan menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.1447/1492 daripada 5.1564/1603 pada Khamis dan meningkat berbanding euro kepada 4.4958/4997 daripada 4.5002/5037.