
Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mungkin menaikkan satu lagi kadar semalamannya.
Ringgit kekal rendah di bawah 4.70 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), menjelang pengumuman Rizab Persekutuan (Fed) AS dan Bank of England yang dijangka menaikkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) kepada 75 mata asas (bps).
Kejatuhan 0.09 peratus nilai ringgit kepada 4.7260 ketika penutup jam 6 petang tadi (Isnin, 31 Oktober 2022) berbanding 4.7225 ketika urus niaga berakhir pada Jumaat, turut dipengaruhi jangkaan kenaikan 25 bps lagi oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM), Khamis ini.
Pada Jumaat, 21 Oktober 2022, nilai ringgit menjunam ke paras terendah dalam sejarah negara iaitu jatuh 110 mata asas kepada 4.7380 berbanding satu dolar AS.
Penganalisis ekonomi pula menjangkakan ringgit diniagakan dalam jajaran RM4.72 hingga RM4.74 berbanding satu dolar AS minggu ini.
Kesan kejatuhan nilai ringgit sebelum ini dikatakan menyebabkan sebilangan syarikat Malaysia merasai tekanan daripada kekukuhan dolar AS, setelah mereka terdedah kepada bayaran balik pinjaman serta import menggunakan mata wang itu.
Kesan itu adalah pukulan berganda buat syarikat berkenaan yang cuba bangkit semula setelah pandemik Covid-19.
Syarikat-syarikat ini mencatatkan keputusan terburuk mereka sejak wabak itu, apabila mata wang tempatan merosot ke paras yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Sementara itu, Bursa Malaysia ditutup tinggi di tengah-tengah harapan Fed mungkin kurang agresif mengenai kenaikan kadar faedahnya, sementara pelabur menunggu pengumuman OPR minggu ini.
FBM KLCI berakhir 13.07 mata, atau 0.9 peratus kepada 1,460.38 pada jam 5 petang selepas mencecah paras tertinggi harian pada 1,468.41.
Dalam pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 450 berbanding 365, dengan 2.9 bilion saham bernilai RM1.94 bilion bertukar tangan.