
Pada jam 6 petang 22 Julai 2022, mata wang tempatan menokok kepada 4.4515/4545 berbanding dolar US daripada paras penutup 4.4575/4590 yang dicatatkan semasa Khamis.
Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar US hari ini (22 Julai2022) walaupun Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia meningkat 3.4 peratus kepada 127.4 pada bulan lepas berbanding 123.2 dari tahun sebelumnya, kata seorang penganalisis.
Pada masa sama, Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini dengan ditutup tinggi, dengan FBM KLCI melepasi halangannya dalam proses hari ini, berikutan sokongan belian yang berterusan daripada institusi tempatan dan dana asing, kata peniaga.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan menokok kepada 4.4515/4545 berbanding dolar US daripada paras penutup 4.4575/4590 yang dicatatkan semasa Khamis, lapor Bernama.
Sebelum itu, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan bahawa inflasi makanan melonjak sebanyak 6.1 peratus, kekal sebagai penyumbang utama kepada kenaikan inflasi pada Jun 2022.
Menurut rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, biasanya inflasi akan menjejaskan ekonomi dan ringgit berkemungkinan akan melemah sedikit.
“Ekonomi kini dilanda inflasi harga makanan yang lebih tinggi yang menyebabkan pendapatan boleh guna yang kurang bagi kebanyakan orang untuk berbelanja ke atas barangan berharga mahal. Kenaikan inflasi akan menjadi seretan jangka pendek kepada ekonomi,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.2011/2038 daripada 3.1960/1976 yang direkodkan semalam dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.2389/2413 daripada 3.2128/2142.
Bagaimanapun, ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3187/3222 daripada 5.3236/3254 dan naik berbanding euro kepada 4.5201/5231 daripada 4.5386/5402.
Sementara itu, pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 15.48 mata atau 1.07 peratus kepada 1,465.80 daripada 1,450.32 pada Khamis.
Saham pandu pasaran, yang dibuka tinggi 0.77 mata kepada 1,451.09, bergerak antara 1,450.73 dan 1,468.48 sepanjang hari.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 580 berbanding 278 manakala 414 kaunter tidak berubah, 1,024 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.
Bagaimanapun, jumlah dagangan merosot kepada 2.05 bilion unit bernilai RM1.55 bilion daripada 2.13 bilion unit bernilai RM1.38 bilion pada Khamis.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen pelabur meningkat dengan kembalinya dana asing berikutan faktor positif di rantau ini.
Beliau berkata indeks serantau utama kebanyakannya diniagakan tinggi sejajar dengan prestasi semalaman Wall Street yang optimis.
“Kami menjangka FBM KLCI akan meneruskan aliran meningkatnya dalam tempoh terdekat.
“Oleh itu, kami menjangka indeks petunjuk pasaran akan bergerak dalam julat 1,460 hingga 1,480 minggu depan, dengan paras halangan segera pada 1,500 dan paras sokongan pada 1,430,” katanya.