
Pada jam 9 pagi 8 Jun 2022, nilai mata wang tempatan ialah pada 4.3930/3960 berbanding dolar AS daripada 4.3935/3960 penutup Selasa.
Nilai ringgit meningkat berbanding dolar AS pada pagi urus niaga Rabu walaupun pada kadar yang lebih perlahan, berikutan senario inflasi global dan pengetatan dasar ekonomi.
Pada jam 9 pagi, nilai mata wang tempatan ialah pada 4.3930/3960 berbanding dolar AS daripada 4.3935/3960 penutup Selasa, lapor Bernama.
Menurut peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz, dolar mungkin terus meningkat dalam jangka sederhana dan panjang.
“Peningkatan nilai mata wang AS berlaku di tengah-tengah ketegangan semakin ketara di Asia yang membabitkan latihan ketenteraan Korea Utara dan ini mendorong AS untuk menjalankan latihan ketenteraan bersama-sama dengan Korea Selatan,” katanya.
Sementara itu, ringgit lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali yen.
Mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1937/1964 daripada 3.1936/1957 semalam dan jatuh berbanding pound Britain menjadi 5.5242/5280 daripada 5.4963/4994.
Ringgit turut menyusut nilai berbanding euro kepada 4.6970/7002 daripada 4.6892/6919 pada penutup Selasa tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3020/3045 daripada 3.3109/3130.
Sementara itu, kontrak niaga hadapan (FKLI) FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dibuka tinggi pagi ini.
Pada jam 9.28 pagi, Jun 2022 dan Julai 2022 masing-masing menambah 9.0 mata kepada 1,533.5 dan 1,534.0, September 2022 meningkat 8.0 mata menjadi 1,525.5 dan Disember 2022 meraih 3.5 mata kepada 1,520.0.
Jumlah dagangan 1,082 lot, dengan kepentingan terbuka sebanyak 33,814 kontrak.
Pada 9.37 pagi, penanda aras FBM KLCI susut 4.99 mata kepada 1,530.83 daripada penutupan Selasa pada 1,525.93.