
Ringgit meningkat berbanding pound Britain pada pagi 22 Jun 2022.
Nilai ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini kerana para pelabur terus mencari perlindungan dengan mendapatkan mata wang yang lebih selamat, kata seorang peniaga.
Sementara, Bursa Malaysia pula dibuka tinggi sedikit pada urus niaga pagi Rabu, mengambil petunjuk daripada kerancakan pergerakan semalaman di Wall Street selepas konsensus pasaran menunjuk ke arah kelembapan inflasi pada suku akan datang
Pada jam 9.20 pagi, mata wang tempatan itu menyusut nilai kepada 4.3970/4005 berbanding dolar AS daripada penutupan hari Selasa iaitu 4.3945/3980, lapor Bernama.
Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit akan terus berlegar pada paras semasa sementara kebimbangan terhadap langkah mengetatkan monetari seterusnya oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) dan kesan berikutnya ke atas ekonomi dijangka kekal dalam masa terdekat.
“Sementara itu, ekuiti-ekuiti penanda aras global adalah lebih tinggi kerana pelabur telah mula melihat nilainya apabila aset berisiko dikurangkan akibat pengetatan monetari yang agresif oleh Fed,” katanya kepada Bernama.
Namun begitu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.
Mata wang tempatan menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.3894/3937 daripada penutup Selasa 5.4035/4078, dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1706/1734 daripada 3.1738/1768.
Nilai ringgit turut naik berbanding euro kepada 4.6217/6254 daripada 4.6441/6478 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2281/2309 daripada 3.2448/2477 sebelumnya.
Sementara itu, pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.07 mata kepada 1,457.95 daripada penutupan Selasa pada 1,457.88, sebelum kembali mencatat penurunan.
Indeks penanda aras dibuka 3.25 mata lebih kukuh pada 1,461.13.
Pergerakan harga dengan kaunter untung mendahului kaunter rugi 164 berbalas 113, manakala 235 kaunter tidak berubah, 1,763 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.