
Nilai ringgit jatuh berbanding dolar Amerika.
Nilai ringgit hari ini (11 Oktober 2022) berada pada RM4.672 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS), tatkala negara bakal berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi setelah Parlimen dibubarkan semalam.
Bukan sahaja dipengaruhi oleh keadaan politik yang tidak menentu di dalam negara sekarang ini, nilai ringgit juga jatuh disebabkan kekukuhan nilai mata wang dolar AS.
Pada 7 September lalu, kali pertama ringgit merudum ke paras terendah sejak 24 tahun ketika krisis kewangan Asia berlaku pada 1998, dengan mencatat RM4.501 bagi satu dolar AS.
Semenjak itu nilai ringgit terus jatuh tanpa langkah-langkah konkrit dilakukan kerajaan pimpinan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi menyekat kejatuhan yang berterusan.
Selain itu, penurunan harga minyak juga dilaporkan memberi kesan negatif kepada mata wang negara, kerana Malaysia juga adalah negara pengeksport bahan bakar itu.