
Ketika urus niaga ditutup jam 6 petang tadi (2 November 2022), ringgit jatuh kepada 4.7360 berbanding dolar AS.
Ringgit hari ini (2 November 2022) jatuh lagi ke paras terendah pernah dicatat pada 7 Januari 1998 ketika krisis kewangan Asia, tetapi tinggi sedikit daripada paras terendah sepanjang masa yang dicatat pada 21 Oktober lalu.
Ketika urus niaga ditutup jam 6 petang tadi, ringgit jatuh kepada 4.7360 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Semalam, mata wang tempatan itu ditutup pada 4.7345.
Kejatuhan ringgit hari ini dikatakan berpunca daripada kekukuhan nilai mata wang utama dunia itu, dengan jangkaan Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas (bps).
Peniaga berpendapat walaupun Fed telah menetapkan kenaikan kepada 75 bps, peniaga enggan membeli ringgit.
Selain itu peniaga juga menunggu keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kadar dasar semalaman (OPR) esok, yang diunjurkan meningkat kepada 2.75 peratus daripada 2.50 peratus.
Sementara itu, Bursa Malaysia berakhir di wilayah positif apabila pelabur menantikan keputusan BNM berhubung OPR itu.
Laporan Reuters mendapati 25 daripada 27 ahli ekonomi yang ditinjau meramalkan BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25 bps kepada 2.75 peratus daripada 2.5 peratus.
Pada jam 5 petang, FBM KLCI meningkat 5.68 mata, atau 0.39 peratus kepada 1,451.61, turun daripada paras tertinggi hariannya pada 1,451.92.
Pasaran optimistik dengan 487 untung berbanding 340 rugi. Jumlah dagangan ialah 2.5 bilion saham bernilai RM1.8 bilion.
Menurut data Bursa Malaysia, pelabur asing dan peruncit tempatan masing-masing menjual RM68 juta dan RM4 juta ekuiti tempatan.