
Ringgit jatuh ke paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1997/1998 iaitu 4.7380 berbanding dolar AS pada 'black Friday' 21 Oktober 2022.
Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Khamis, berikutan penurunan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu selepas pengumuman kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS yang dijangkakan, kata seorang penganalisis.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4515/4550 berbanding dolar AS daripada 4.4570/4590 pada Rabu.
Penganalisis Pasaran Kanan OANDA Asia Pasifik Jeffrey Halley berkata kenyataan yang kurang memihak kepada kadar faedah tinggi oleh Pengerusi Fed Jerome Powell mengenai kenaikan kadar mewujudkan sentimen kenaikan semalaman berikutan pasaran ekuiti mengambil kira inflasi dan kadar faedah pada paras tinggi.
“Dengan ekuiti yang meningkat, dolar AS meneruskan pembetulan penurunan, dijual dengan banyak dan indeksnya terus merosot di Asia.
“Bagaimanapun, mata wang Asia kebanyakannya dilihat sebagai tidak berubah hari ini,” katanya menurut Bernama.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit bagaimanapun merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2192/2222 daripada 3.2111/2130 pada Rabu, susut berbanding yen Jepun kepada 3.2865/2893 daripada 3.2614/2631 dan berkurangan berbanding pound kepada 5.4001/4044 daripada 5.3783/3807.
Bagaimanapun, mata wang tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.5196/5232 daripada 4.5207/5228 pada Rabu.