Ringgit diramal tidak menentu minggu depan, julat kecil bursa

Ringgit dijangka terus diniagakan dalam corak tidak menentu minggu depan berikutan petunjuk bercampur-campur daripada perkembangan ekonomi global yang mungkin mendorong lebih ramai pelabur untuk tidak memasuki pasaran, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata unit tempatan mungkin kekal pada paras semasa memandangkan wujud ketidaktentuan berterusan ekoran perang di Ukraine selain turun naik ketara harga komoditi khususnya.

Beliau berkata bagaimanapun prospek ekonomi yang lebih baik susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April juga akan mempengaruhi nilai ringgit minggu depan, lapor Bernama.

“Kenyataan Bank Negara Malaysia baru-baru ini juga menunjukkan bank pusat kekal berwaspada dengan prospek yang berkembang walaupun pembukaan semula sempadan dan peningkatan luaran akan mengukuhkan prestasi ekonomi Malaysia tahun ini.

“Oleh itu, kami menjangkakan ringgit stabil pada sekitar RM4.20 hingga RM4.21 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Berasaskan mingguan, ringgit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat kepada 4.2110/2135 pada Jumaat daripada 4.2080/2110 minggu lepas.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.4376/4399 daripada 3.4608/4633 minggu lepas namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1061/1082 daripada 3.1021/1045.

Unit tempatan mengukuh berbanding pound British kepada 5.5286/5319 daripada 5.5394/5434 bagaimanapun rendah berbanding euro kepada 4.6557/6584 daripada 4.6305/6338.

Krisis Russia-Ukraine pengaruhi dagangan FTSE

Dagangan kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka dilaksanakan secara berhati-hati minggu depan, menjejaki pergerakan di pasaran tunai.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pelabur kekal bimbang mengenai ketegangan geopolitik yang semakin meruncing antara Russia dan Ukraine, selain ketidaktentuan pasaran yang berterusan.

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,595 hingga 1,605 untuk minggu depan,” katanya.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, April 2022 turun satu mata kepada 1,599.5; Mei 2022 kekal pada 1,599.5; Jun 2022 susut 2.5 mata kepada 1,598.5 dan September 2022 kurang 1.5 mata kepada 1,587.5.

Jumlah dagangan melonjak kepada 96,657 lot daripada 34,773 lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 38,718 kontrak daripada 47,456 kontrak.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 0.89 mata untuk mengakhiri minggu ini pada 1,602.41; daripada 1,603.30 pada minggu lepas.

KLTM dijangka kekal lengang

Pasar Timah Kuala Lumpur (KLTM) dijangka kekal lengang pada minggu hadapan.

Menurut seorang peniaga, pasaran tempatan mungkin menyaksikan harga timah berlegar sekitar US$ 42,800 setan pada minggu hadapan sekiranya wujud transaksi, memandangkan logam itu kini didagangkan pada US$42,900 setan di Bursa Logam London.

“Terdapat minat belian yang datang dari Pakistan dan Bangladesh, bagaimanapun, kami masih belum tahu sama ada terdapat sebarang tawaran daripada penjual,” katanya kepada Bernama.

Untuk minggu yang baru berakhir, tawaran kekal pada 10 tan, tanpa sebarang penjual.

Sentimen pelabur kekal berhati-hati

Bursa Malaysia dijangka menyaksikan dagangan dalam julat kecil minggu depan berikutan sentimen pelabur mungkin kekal berhati-hati disebabkan kekurangan pemangkin, kata penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak dalam julat 1,595 hingga 1,605 minggu depan.

“Susulan turun naik pasaran ketara semula, kami yakin pasaran serantau dan tempatan akan turut terjejas dan sentimen pelabur akan kekal bimbang walaupun pembelian semasa harga rendah mungkin berlaku,” katanya kepada Bernama.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata sentimen akan terus ditentukan oleh peristiwa luar seperti krisis ketenteraan di Ukraine, harga komoditi yang lebih tinggi, serta pengetatan dasar monetari global.

“Justeru, wajar diberi perhatian bahawa dana asing telah menjadi pembeli bersih dalam tiga bulan pertama tahun ini, dengan pembelian bersih RM6.4 bilion.

“Mungkin, ia menandakan bahawa nilai telah muncul dalam pasaran ekuiti kita,” katanya kepada Bernama.

Bank Negara serap lebihan mudah tunai

Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil minggu hadapan susulan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai dari pasaran kewangan.

Purata kadar semalaman Islam berada pada 1.72 peratus, manakala kadar satu, dua dan tiga minggu, masing-masing pada 1.78 peratus, 1.82 peratus dan 1.85 peratus.

Untuk minggu yang baru berakhir, BNM menjalankan operasi setiap hari bagi mengurangkan lebihan dana daripada sistem kewangan dengan menjalankan tender pasaran wang konvensional, tender Qard, tender lelongan lelongan pelbagai kematangan Islam (IRMA), tender program komoditi Murabahah dan tender repo berbalik.

Jumlah lebihan mudah tunai dalam sistem konvensional untuk minggu berkenaan jatuh kepada RM41.33 bilion berbanding RM42.48 bilion yang dicatatkan pada minggu sebelumnya, manakala dalam sistem Islam, ia meningkat kepada RM23.50 bilion daripada RM22.83 bilion.

BERITA BERKAIT
POPULAR