
Ringgit ditutup rendah dalam pasaran hari ini.
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Selasa berikutan mata wang negara maju mengukuh ketika potensi yang berterusan kepada kenaikan kadar faedah.
Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.3950/3975 berbanding dolar AS daripada 4.3870/3910 pada Jumaat, lapor Bernama.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata maklumat terkini data pembayaran gaji bukan ladang (NFP) memberikan isyarat bahawa keadaan ekonomi Amerika Syarikat (AS) kekal positif dengan jumlah pekerjaan yang dihasilkan berjumlah 390,000 pada Mei, melebihi anggaran konsensus sebanyak 328,000.
Sehubungan itu, beliau berkata dolar AS mengatasi semua mata wang utama seperti euro, pound Britain dan yen.
“Oleh itu, dolar-ringgit perlu kekal dalam lingkungan RM4.39 hari ini, manakala tumpuan pada minggu ini akan terarah kepada mesyuarat Bank Pusat Eropah pada Khamis, selain Indeks Pengeluar Pengguna AS pada Mei dengan anggaran konsensus pada sekitar 8.2 peratus (April: 8.3 peratus),” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1889/1910 daripada 3.1947/1981 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5008/5039 daripada 5.5171/5221 sebelum ini.
Ia naik berbanding euro kepada 4.6956/6983 daripada 4.7143/7186 pada Jumaat dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.3230/3251 daripada 3.3728/3759 sebelum ini.
Sementara itu, kontrak niaga hadapan Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) tiga bulan di Bursa Malaysia Derivatives dibuka tanpa mencatat sebarang dagangan pada hari ini.
Pada 9.24 pagi, kontrak bulan semerta Jun 2022, Julai 2022, Ogos 2022 dan September 2022 masing-masing pada 97.23.
Jumlah dagangan dan kepentingan terbuka adalah sifar.