
Ketika urus niaga ditutup jam 6 petang tadi (2 November 2022), ringgit jatuh kepada 4.7360 berbanding dolar AS.
Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal Jumaat (22 Julai 2022), manakala Bursa Malaysia mengekalkan aliran meningkat dalam dagangan pagi ini.
Pengukuhan ringgit disebabkan permintaan terhadap dolar AS lemah susulan pengumuman tuntutan pengangguran lebih tinggi, penurunan jualan rumah dan penyusutan pulangan bon AS.
Perkembangan itu memberi kelebihan kepada ringgit yang meningkat kepada 4.4510/4550 berbanding dolar AS pada 9.01 pagi ini, daripada 4.4575/4590 pada akhir urus niaga semalam, menurut Bernama.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit dijangka mencatat prestasi lebih baik susulan hasil bon AS yang rendah.
“Data-data yang dikemaskini daripada AS termasuk tuntutan pengangguran, jualan rumah dan kenaikan inventori gas domestik yang meningkat menunjukkan kemungkinan tindakan Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah telah menyebabkan pulangan hasil bon negara maju itu rendah,” katanya.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kelompok mata wang utama.
Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2003/2037 daripada 3.1960/1976 semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.3359/3407 daripada 5.3236/3254.
Ia turut susut berbanding berbanding yen Jepun kepada 3.2406/2440 daripada 3.2128/2142 semalam dan rendah berbanding euro kepada 4.5427/5468 daripada 4.5386/5402.
Sementara itu, Bursa Malaysia mengekalkan aliran meningkat pagi ini, mengambil petunjuk daripada rali berterusan Wall Street berikutan pendapatan korporat Amerika Syarikat (AS) yang kukuh, kata seorang penganalisis.
Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.66 mata kepada 1,454.98 daripada 1,450.32 penutup Khamis.
Indeks penanda aras dibuka 0.77 mata lebih tinggi kepada 1,451.09.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 172 berbanding 123, manakala 206 kaunter tidak berubah, 1,795 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 145.83 juta unit bernilai RM57.16 juta.
Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata arah aliran meningkat semalaman Wall Street memberi isyarat bahawa sokongan belian di bursa tempatan akan kekal utuh.
“Sektor teknologi sepatutnya mendapat momentum berikutan pemulihan lanjutan Nasdaq.
“Selain itu, pelabur mungkin memihak kepada saham automotif selepas Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menaikkan unjuran jumlah industri automotif Malaysia,” katanya.