
Ringgit dibuka tinggi pagi ini (15 Ogos 2022), sementara Bursa Malaysia pula diniagakan lebih rendah susulan aktiviti pengambilan untung.
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS$) hari ini (29 Jun 2022) berikutan kemerosotan indeks penanda aras AS malam tadi, kata penganalisis, manakala Bursa Malaysia juga turut diniagakan rendah pada pembukaan pagi ini.
Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menyusut kepada 4.3995/4020 berbanding dolar AS daripada 4.3960/3975 sewaktu ditutup semalam, menurut Bernama.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ekuiti penanda aras AS mencatatkan kemerosotan malam tadi berikutan pelabur gelisah dengan laporan keyakinan pengguna AS.
Menurut Conference Board, indeks keyakinan pengguna AS merosot kepada 98.7 mata pada Jun berbanding 103.2 pada Mei — paras terendah yang dilihat sejak Februari 2021.
“Kemerosotan itu mengukuhkan pandangan bahawa ekonomi AS dijangkakan perlahan pada masa akan datang berikutan pengguna bergelut dengan persekitaran kos yang tinggi,” katanya kepada Bernama.
Beliau menambah, pengguna dijangka menyusun semula keutamaan corak perbelanjaan mereka yang boleh menyebabkan pertumbuhan ekonomi yang sederhana memandangkan perbelanjaan pengguna menyumbang 70 peratus daripada ekonomi AS.
Dalam pada itu, hasil Perbendaharaan AS 10-tahun susut hampir tiga mata asas kepada 3.17 peratus, manakala Indeks Dolar AS (DXY) meningkat kepada 104.506 mata.
“Gandingan dolar-ringgit mungkin kekal suram, namun, laporan terkini mengenai semakan semula meningkat bagi unjuran penarafan berdaulat oleh S&P Global Ratings (S&P) — daripada ‘negatif’ kepada ‘stabil,’ memperlihatkan kerajaan Malaysia mempunyai ruang fiskal untuk kekal berkembang.
“Penilaian penarafan S&P adalah bersandarkan pertumbuhan ekonomi yang teguh dan paras imbangan luaran yang baik,” katanya.
Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3630/3660 daripada 5.3899/3918 sewaktu ditutup pada Selasa, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1694/1717 daripada 3.1726/1742 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6278/6305 daripada 4.6527/6543 semalam.
Bagaimanapun, mata wang tempatan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.2349/2370 daripada 3.2333/2346 sebelum ini.
Sementara itu, Bursa Malaysia dibuka rendah dalam kebanyakan indeks hari ini berikutan data ekonomi AS yang suram telah mencetuskan kebimbangan terhadap unjuran pendapatan korporat, menurut penganalisis.
Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.44 mata kepada 1,445.30 daripada 1,454.74 pada Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka rendah 4.29 mata kepada 1,450.45.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 237 kepada 65, manakala 154 kaunter tidak berubah, 1,850 tidak diniagakan dan 89 yang lain digantung dagangannya.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Wall Street merosot selepas dibuka kukuh berikutan pengeluaran data ekonomi AS yang menghampakan.
Purata Perindustrian Dow Jones susut 491 mata, manakala Nasdaq berkurangan sebanyak 343 mata.