
Ketika urus niaga ditutup jam 6 petang tadi (2 November 2022), ringgit jatuh kepada 4.7360 berbanding dolar AS.
Ringgit meneruskan momentum lemah pada sesi awal urus niaga hari ini (23 Ogos 2022), lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah kekurangan pemangkin baharu, manakala Bursa Malaysia mengalami penurunan empat hari berturut-turut.
Pada jam 9.39 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.4860/4890 berbanding dolar AS daripada 4.4855/4870 pada penutup Isnin, lapor Bernama.
Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata pergerakan meningkat yang kukuh baru-baru ini telah melonjakkan dolar AS sehingga paras tertinggi yang dicatatkan pada 2020 berbanding ringgit, iaitu 4.4500, dan kini mata wang itu bergerak menuju ke paras tertinggi yang pernah direkodkan pada 2017 iaitu 4.500.
“Pelabur akan mempunyai pandangan lebih baik terhadap pasaran selepas data Jualan Rumah Baharu AS bagi Julai dikeluarkan (jangkaan sebanyak 575,000) yang akan memberikan gambaran mengenai sektor hartanah negara itu,” katanya.
Beliau berkata dari sudut pandang teknikal, dolar AS/ringgit mungkin menjejaki semula penurunan dalam beberapa minggu akan datang selepas mengalami pergerakan meningkat yang ketara sejak beberapa bulan lalu.
“Paras rintangan utama pada carta harian adalah 4.5000, yang menghampiri paras tertinggi sepanjang masa dolar AS/ringgit. Jika kadar itu menembusi bawah 4.4700, mungkin ada ruang untuk penurunan lebih besar kepada lingkungan 4.3600 dalam beberapa minggu,” katanya.
Sementara itu, ringgit didagangkan kebanyakannya tinggi berbanding beberapa mata wang utama.
Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.4595/4625 daripada 4.4886/4901 ketika ditutup semalam dan tinggi berbanding pound British kepada 5.2805/2836 daripada 5.2947/2965.
Ringgit stabil berbanding yen Jepun kepada 3.2661/2685 daripada 3.2786/2800 namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2182/2129 daripada 3.2147/2163.
Sementara itu, Bursa Malaysia mengalami penurunan bagi hari keempat berturut-turut untuk dibuka rendah pada Selasa berikutan sentimen kembali berhati-hati.
Bagaimanapun, peniaga menjangkakan pembelian semasa harga murah akan dialami bursa, khususnya terhadap saham berkaitan perbankan dan teknologi.
Pada 9.12 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras susut 5.38 mata kepada 1,481.99 daripada 1,487.37 ketika dipenutup pada Isnin.
Indeks utama itu dibuka 2.45 mata lebih rendah pada 1,484.92.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 277 berbanding 103 manakala 217 kaunter tidak berubah, 1,721 kaunter tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 179.06 juta unit bernilai RM88.93 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata sokongan belian dijangka dialami lewat hari ini dan indeks utama berkemungkinan mencatatkan aliran berjulat 1,480 hingga 1,500.
“Secara amnya, FBM KLCI ditutup lebih rendah dalam keadaan prestasi serantau yang lemah akibat dipengaruhi oleh niaga hadapan rendah di Wall Street semalam.
“Pasaran kewangan Amerika Syarikat itu susut selepas kebimbangan mengenai kenaikan kadar faedah lebih agresif yang mungkin dilaksanakan Rizab Persekutuan AS muncul semula,” katanya.
Beliau berkata indeks Purata Perindustrian Dow Jones merosot 643 mata manakala Nasdaq turun sebanyak 324 mata apabila hasil berjangka 10 tahun AS meningkat kepada 3.02 peratus.