
Ringgit berdepan tekanan.
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini (Khamis, 1 September 2022), dibebani oleh penurunan harga minyak, manakala dolar AS terus mengukuh di tengah-tengah kecenderungan umum mengenai ekonomi global, kata seorang penganalisis.
Pada jam 9.02 pagi, mata wang tempatan jatuh kepada 4.4830/4860 berbanding dolar AS daripada penutupan Selasa pada 4.4745/4780, menurut Bernama.
Pasaran ditutup pada Rabu untuk sambutan Hari Kebangsaan.
Penganalisis kanan pasaran OANDA, Edward Moya berkata, harga minyak mentah jatuh kerana peniaga menjangkakan tempoh untuk pertumbuhan global, sebahagiannya kerana aktiviti kilang China kekal tertekan.
“Harga minyak mentah telah berada dalam aliran rendah kerana pasaran minyak tidak kelihatan seketat itu lagi, tetapi gelombang terakhir kelemahan ini berkemungkinan akan diikuti dengan pengurangan dalam pengeluaran Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum,” katanya.
Terkini, penanda aras harga minyak mentah Brent turun 2.84 peratus kepada AS$96.49 setong.
Dalam pada itu, Moya menyatakan bahawa pelabur juga menantikan data Gaji Bukan Ladang AS yang akan dikeluarkan pada Jumaat.
“Kadar pengambilan pekerja yang lebih perlahan masih memberikan Rizab Persekutuan lampu hijau untuk kenaikan kadar yang lebih agresif sepanjang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan yang akan datang,” tambahnya.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.2033/2059 daripada penutup Selasa 3.2073/2103, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.1931/1966 daripada 5.2472/2514 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2150/2173 daripada 3.2235 sebelumnya.
Bagaimanapun, ia menyusut berbanding euro kepada 4.4942/4972 daripada 4.4884/4919 pada hari Selasa.
Sementara itu, Bursa Malaysia juga dibuka rendah hari ini berikutan pengambilan untung selepas penutupan kukuhnya pada Selasa, menjejaki kemerosotan pasaran saham global semalaman selepas data pekerjaan AS yang kukuh mencetuskan kebimbangan terhadap pengetatan dasar monetari yang agresif, kata peniaga.
Pada jam 9.08 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 15.14 mata kepada 1,496.91 daripada 1,512.05 penutup Selasa.
Indeks penanda aras dibuka 14.04 mata lebih rendah kepada 1,498.01.
Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup semalam sempena cuti Hari Kebangsaan.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 286 berbanding 96, manakala 216 kaunter tidak berubah, 1,690 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 232.37 juta unit bernilai RM134.28 juta.
Dalam satu nota, Malacca Securities Sdn Bhd berkata walaupun indeks utama Bursa Malaysia berjaya didagangkan secara positif pada Selasa, pelabur harus terus berhati-hati memandangkan ketidaktentuan yang berterusan dalam pasaran saham global.