
Nilai ringgit.
Nilai ringgit meningkat sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, meneruskan momentum menaik semalam apabila selera risiko dalam pasaran bertambah baik, kata seorang peniaga.
Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan mencatatkan paras 4.4960/4995 berbanding dolar AS daripada penutup Khamis pada 4.5010/5040, lapor Bernama.
Peniaga itu berkata langkah Bank Negara Malaysia untuk menaikkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas (bps) semalam berjaya mengimbangi kesan daripada pendirian pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, Jerome Powell malam tadi, yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah.
Sementara itu, Bank Pusat Eropah turut meningkatkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas yang belum pernah berlaku sebelum ini kepada 0.75 peratus dalam usaha membendung inflasi.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang utama yang lain.
Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.2062/2089 daripada penutup Khamis pada 3.2015/2041, lemah berbanding pound Britain kepada 5.1897/1938 daripada 5.1730/1764 dan turun berbanding euro kepada 4.5162/5197 daripada 4.4996/5026 semalam.
Bagaimanapun, ringgit menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.1268/1294 daripada 3.1285/1308 sebelumnya.
Sementara itu, Bursa Malaysia juga dibuka tinggi sedikit, namun menyusut kemudiannya kerana para pelabur masih menimbangkan usaha Rizab Persekutuan Amerika Syarikat memerangi inflasi di tengah-tengah sentimen pasaran serantau yang bercampur-campur, kata seorang peniaga.
Pada jam 9.06 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.83 mata untuk mencatatkan paras 1,493.90 berbanding penutupan Khamis pada 1,494.73.
Indeks utama itu dibuka 1.02 mata lebih kukuh pada 1,495.75.
Bagaimanapun di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 142 berbalas 88, manakala 176 kaunter tidak berubah, 1,899 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 76.19 juta unit bernilai RM37.30 juta.
Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, sentimen dijangka kekal hambar walaupun aktiviti belian berkemungkinan berterusan untuk saham perbankan hari ini berikutan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia.
Bank pusat telah menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) kelimanya semalam.
Justeru, Thong menjangkakan indeks berada dalam aliran julat yang ketat antara 1,490 dan 1,500 hari ini, sambil menambah sektor perladangan mungkin menghadapi beberapa masalah berikutan harga minyak sawit mentah terus menurun disebabkan permintaan yang lebih lemah dan paras inventori yang tinggi.