
Pada jam 9 pagi, 29 Jun 2022, mata wang tempatan menyusut kepada 4.3995/4020 berbanding dolar AS daripada 4.3960/3975 sewaktu ditutup semalam.
Ringgit dan Bursa Malaysia hari ini (24 Jun) dibuka dan diniagakan tinggi menjelang laporan Ideks Harga Pengguna (IHP) dan prestasi positif di Wall Street dalam tempoh semalaman serta pergerakan di bursa-bursa serantau.
Ringgit dibuka tinggi berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, menjelang laporan IHP Malaysia bagi Mei 2022 yang dijadual dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, kata penganalisis.
Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4020/4050 berbanding dengan dolar AS daripada 4.4045/4075 ketika ditutup pada Khamis, lapor Bernama.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata IHP bagi Mei 2022 dijangka lebih tinggi iaitu pada tiga peratus dan menjadi petanda bahawa langkah normalisasi dasar monetari seterusnya mungkin dilaksanakan.
“Jika langkah itu diputuskan, mata wang tempatan akan disokong kerana prospek kadar dasar semalaman yang lebih tinggi akan membantu mengekalkan perbezaan kadar faedah dengan kadar AS pada tahap yang baik,” katanya.
Beliau juga berkata kebimbangan mengenai kemelesetan ekonomi akan terus mendorong sentimen semasa.
“Oleh itu, permintaan untuk mata wang selamat seperti dolar AS akan kekal kukuh,” katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding dengan beberapa mata wang utama.
Unit tempatan meningkat berbanding dengan dolar Singapura kepada 3.1653/1679 daripada 3.1682/1706 ketika ditutup pada Khamis, dan naik berbanding dengan euro kepada 4.6283/6314 daripada 4.6318/6349.
Ringgit bagaimanapun rendah berbanding dengan yen Jepun kepada 3.2583/2608 daripada 3.2534/2559 semalam dan susut berbanding dengan pound British kepada 5.3907/3944 daripada 5.3722/3758.
Sementara itu, Bursa Malaysia dibuka tinggi, dengan mengambil petunjuk daripada prestasi positif di Wall Street dalam tempoh semalaman serta pergerakan di bursa-bursa serantau, kata peniaga.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.45 mata kepada 1,434.50 daripada 1,431.05 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.25 mata lebih tinggi kepada 1,431.30.
Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 131 berbanding 95, manakala 167 kaunter tidak berubah, 1,896 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 77.59 juta unit bernilai RM33.11 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata dagangan di ketiga-tiga indeks utama di Wall Street tidak menentu sebelum mencatatkan peningkatan berterusan yang kukuh semasa saat-saat akhir untuk ditutup pada prestasi positif.
“Kebimbangan mengenai inflasi masih ketara walaupun Purata Perindustrian Dow Jones (DJI) melonjak 194 mata dan Nasdaq meningkat 179 mata,” katanya.
Beliau juga berkata hasil berjangka 10 tahun AS terus susut dan berakhir pada 3.09 peratus.