Ribut petir di Pulau Pinang, Kedah, Perlis berbahaya kepada bot kecil

Keadaan ribut petir yang melanda di utara perairan Selat Melaka hari ini dan esok boleh mendatangkan bahaya kepada keselamatan pemancing dan pemilik bot-bot kecil yang berada di laut.

Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah Muhammad Khalil Abdul Aziz berkata antara negeri yang dijangka berlaku ribut petir hari ini ialah Pulau Pinang, Kedah dan Perlis manakala esok pula hanya melibatkan Kedah dan Perlis, lapor Bernama.

“Pemancing dan pemilik bot-bot kecil dinasihatkan supaya tidak turun ke laut pada hari ini dan esok kerana keadaan cuaca yang tidak menentu tetapi, sekiranya mereka sudah berada di laut carilah tempat untuk berlindung dari ribut petir dan angin kencang.

“Kita tidak mahu kejadian bot karam di Langkawi semalam berulang lagi kerana ini akan melibatkan keselamatan dan nyawa yang banyak,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai kejadian bot karam yang berlaku di Langkawi semalam.

Dalam pada itu, Muhammad Khalil menasihati pemancing atau pemilik bot-bot kecil yang hendak turun ke laut supaya perlu lebih peka dengan keadaan cuaca semasa selain mematuhi arahan daripada pihak berkuasa.

“Mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai keadaan cuaca di http://www.met.gov.my/forecast/marine/fishery/Co009. Kalau boleh tunggu keadaan cuaca lebih baik sebelum turun ke laut bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Perubahan cuaca ini juga adalah disebabkan oleh luruan monsun dari Laut China Selatan yang memasuki Semenanjung Malaysia selain terdapat palung yang aktif mengunjur dari Barat Pasifik (Perairan Papua-Kepulauan Maluku-Laut Celebes),” katanya.

Semalam, kesemua empat kru dan 14 pemancing warga tempatan yang berumur antara 26 hingga 55 tahun itu berjaya diselamatkan bot nelayan tempatan pada pukul 7.30 malam setelah bot yang dinaiki mereka karam pada pukul 2.15 petang di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah dekat Langkawi.

Dua daripada mangsa yang mengalami kecederaan di tangan dan kaki telah dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk mendapatkan rawatan sebaik tiba di Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut pada pukul 11.45 malam.

BERITA BERKAIT
POPULAR