Rentas negeri tak lama lagi, hanya berbaki 0.3 peratus untuk lengkap vaksin

Hanya berbaki 0.3 peratus lagi sebelum kelonggaran perjalanan rentas negeri dapat dinikmati rakyat Malaysia selepas sekatan itu dikuatkuasakan sejak Mei lalu.

Berita Harian melaporkan, ini berdasarkan kadar pemberian vaksin lengkap populasi dewasa di negara ini yang direkodkan di laman sesawang COVIDNOW berada pada tahap 89.7 peratus setakat 11.59 malam tadi.

Peratusan lengkap vaksinasi itu membabitkan seramai 21,003,074 individu, selain populasi dewasa belum lengkap divaksinasi direkodkan sebanyak lima peratus atau 1,172,944 orang dan tiada vaksinasi (1,233,582 atau 5.3 peratus).

Kelonggaran perjalanan rentas negeri akan dinikmati orang ramai apabila kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai 90 peratus, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 22 September lalu.

Larangan perjalanan rentas negeri itu dikuatkuasakan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerusi pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bagi membendung penularan Covid-19, mulai 31 Mei lalu.

Perkongsian sama turut menjelaskan, seramai 20,389,622 atau 62.4 peratus keseluruhan populasi di negara ini direkodkan lengkap divaksinasi, manakala belum lengkap divaksinasi (3,255,715 atau 10 peratus) dan tiada vaksinasi (9,012,063 atau 27.6 peratus).

Angka itu membabitkan pemberian 141,897 dos vaksin Covid-19 kepada penerima, masing-masing 39,183 dos pertama dan 102,714 dos kedua, menjadikan jumlah kumulatifnya meningkat kepada 45,521,196 dos.

Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengunjurkan seramai 26,125,920 individu atau 80 peratus populasi rakyat Malaysia lengkap divaksinasi menjelang 20 November depan.

Lembah Klang direkodkan mendahului carta apabila 82.2 peratus populasinya lengkap divaksinasi, diikuti Negeri Sembilan (71.3 peratus), Labuan (70.5 peratus), Pulau Pinang (68.9 peratus), Sarawak (67.9 peratus), Perlis (66.4 peratus), Melaka (65.2 peratus), Johor (62.8 peratus), Perak (59.1 peratus), Pahang (56.4 peratus), Kedah dan Terengganu (56.2 peratus), Kelantan (47.7 peratus) dan Sabah 47.4 peratus.

Mengenai perkembangan imunisasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 71.5 peratus populasi berkenaan sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos pelalian, manakala seramai 204,536 individu atau 6.5 peratus lengkap divaksinasi.

BERITA BERKAIT
POPULAR