Rentas negeri pertahan pekebun haram, ADUN DAP kini disiasat polis

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dari Selangor, Ronnie Liu yang merentas negeri dan terlibat dalam provokasi melibatkan pekebun haram tanaman durian musang king kini sedang disiasat pihak polis.

Polis mengesahkan dua kertas siasatan dibuka terhadap ADUN Sungai Pelek itu mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Mohd Yusri Othman berkata Liu dipercayai melakukan perbuatan itu di pekarangan Mahkamah Raub hari ini semasa prosiding reman terhadap 18 pekebun durian Musang King yang didakwa menceroboh kawasan hutan simpan berlangsung.

“Siasatan juga dilakukan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 jika beliau melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa merentas negeri ke Raub .

“Walaupun beliau boleh merentas negeri sebagai ahli politik namun ia bergantung kepada SOP Majlis Keselamatan Negara,” katanya lapor Bernama.

Dalam satu video yang tular, Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan itu didapati bertegang urat dengan pihak berkuasa yang sedang bertugas semasa pekebun tersebut sedang dibawa turun daripada trak polis.

Turut kelihatan di pekarangan mahkamah ialah beberapa lagi ahli politik DAP antaranya Ahli Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Ahli Parlimen Bentong Wong Tack, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut Lee Chin Chen dan ADUN Tras Chow Yu Hui.

Mahkamah Majistret Raub membenarkan 18 pekebun berusia lingkungan 17 hingga 60 tahun itu direman sehingga esok bagi membantu siasatan Jabatan Perhutanan Pahang berhubung dakwaan meneroka Hutan Simpan Kekal Batu Talam untuk menanam Musang King.

BERITA BERKAIT
POPULAR