[KEMAS KINI] Rentas negeri mulai esok, individu vaksinasi lengkap sahaja

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan bersetuju membenarkan aktiviti rentas negeri berkuat kuasa esok bagi individu yang lengkap menerima vaksin sahaja.

Pada masa sama kerajaan juga turut bersetuju membenarkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara tanpa melalui #MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Bagaimanapun, katanya, pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah kadar vaksinasi populasi dewasa di negara ini mencapai 90 peratus.

“Kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada polis bermula esok.

“Alhamdulillah, menurut Kementerian Kesihatan (KKM) kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.

“Bagaimanapun, data terkini akan dikemaskini di laman sesawang COVIDNOW pada tengah malam ini,” katanya pada sidang media hari ini,” katanya pada sidang media khas hari ini.

Remaja berusia 12 hingga 17 tahun dan kanak-kanak juga dibenarkan untuk menikmati kelonggaran rentas negeri walaupun belum menerima vaksin Covid-19.

Ismail Sabri berkata ia selepas mengambil kira faktor kanak-kanak masih tidak boleh diberi pelalian berkenaan.

Selain itu, katanya, tiada prosedur operasi standard (SOP) baharu akan dikeluarkan bagi kelonggaran berkenaan bagi negeri yang belum mencapai kadar vaksinasi 80 peratus.

“Kita lihat kepada purata keseluruhan di seluruh negara apabila capai 90 peratus. Ada negeri (kadar vaksinasi) yang lebih 100 peratus dan ada yang masih kurang.

“Bagaimanapun, tiada SOP baharu akan diperkenalkan (bagi negeri yang belum mencapai 80 peratus kadar vaksinasi).

“Bagi kanak-kanak pula, ibu bapa merekalah yang sepatutnya tidak membawa mereka ke tempat perhimpunan ramai dan mereka boleh untuk rentas negeri,” katanya.

Ucapan penuh Perdana Menteri mengenai kebenaran rentas negeri esok

BERITA BERKAIT
POPULAR