Remaja putus tiga jari main mercun bola

Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun putus tiga jari tangan kanan selepas terkena mercun bola dalam kejadian di Kampung Lembah Beris Kubur Besar di Tawang, Bachok, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bachok Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata ketika kejadian mangsa yang sedang bermain mercun bola di belakang rumahnya tidak sempat membaling mercun tersebut sehingga menyebabkan ia meletup di tangan kanannya, lapor Bernama.

“Mangsa telah dibawa ke Klinik Kesihatan Beris Kubur Besar di Tawang pada 4.45 petang, kelmarin oleh keluarganya untuk menerima rawatan awal kerana tahap kecederaan mangsa serius di bahagian tangan sebelah kanan akibat bahan letupan tersebut selain terdapat kesan luka di leher akibat percikan bahan bakar yang berada di tahap satu.

“Keadaan mangsa ketika ini stabil selepas menjalani pembedahan membuang jari ibu, terlunjuk dan tengah di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kota Bharu manakala gegendang telinga mangsa juga pecah dan dirujuk kepada pakar di hospital berkenaan,” katanya.

Mohamad Ismail berkata susulan kejadian itu, satu pasukan pemantau melibatkan dua pegawai dan lapan anggota ditubuhkan untuk membuat pemantauan bagi mengesan aktiviti bermain mercun di sekitar jajahan Bachok.

“Saya ingin beri amaran kepada semua masyarakat supaya sentiasa cakna dan menjaga keselamatan diri supaya tidak sesekali bermain mercun yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan orang di sekeliling,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR