Rekod tertinggi vaksinasi semalam berita baik ke arah imuniti kelompok: PM

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin gembira dengan kadar vaksinasi harian semalam yang tertinggi direkodkan setakat ini dengan 421,479 dos diberikan.

Ini adalah berita terbaik untuk negara dalam usaha mencapai tahap imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini, kata Perdana Menteri selepas melawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, hari ini.

Terdahulu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) hari ini memaklumkan sebanyak 421,479 dos vaksin diberikan di seluruh negara semalam, tertinggi sejak program imunisasi dilancarkan.

Selangor menjadi negeri tertinggi setakat ini dengan pemberian dos vaksin pertama dan kedua iaitu hampir mencecah 100,000.

Daripada jumlah itu 264,034 dos diberi kepada penerima pertama, manakala 157,445 suntikan lagi kepada penerima dos kedua, kata JKJAV dalam kenyataan hari ini.

Angka terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin meningkat kepada 11,788,189 dos.

Lima negeri mencatat jumlah pemberian vaksin tertinggi semalam membabitkan Selangor sebanyak 98,118 dos, diikuti Sarawak (82,068); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (67,904); Perak (24,783) dan Johor (21,880).

“Ini berita baik kerana ia (kadar vaksinasi harian itu) antara tertinggi di dunia dan kalau kita ikut fasa vaksinasi, saya jangka kita boleh capai untuk hampir semua yang perlu divaksinasi selesai sebelum akhir tahun ini dan nampaknya proses ini berjalan lancar,” kata Perdana Menteri.

Sehubungan itu beliau mengarahkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin untuk membeli mana-mana vaksin yang sedia ada.

“Walaupun kita telah beli lebih tapi lambat sampai. Kalau ada lain yang boleh bekal contohnya Pharmaniaga boleh bekal tambahan dua ke tiga juta dos, kita akan beli. Ini komitmen kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR