[KEMAS KINI] Rekod tertinggi 7,289 kes, 60 kematian, KP Kesihatan beri amaran

Sebanyak 7,289 jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, sekali gus menyaksikan ianya adalah jumlah tertinggi sejak pandemik melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor terus mencatat kes tertinggi dengan 2,642 jangkitan, diikuti Johor (664 kes), dan Kuala Lumpur (604 kes).

Sebanyak 60 kematian dicatatkan dalam tempoh itu dengan 59 daripadanya adalah warganegara, menjadikan kumulatif kematian sebanyak 2,369, katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sepanjang tempoh itu juga 3,789 individu sembuh menjadikan keseluruhan kes sembuh kepada 460,062 atau 87.5 peratus, sementara 63,458 adalah kes aktif.

Beliau berkata, 726 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan 373 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Terdahulu beliau memberi amaran kemungkinan kes Covid-19 di negara ini mencetuskan lonjakan terburuk jika berdasarkan trend kenaikan yang berlaku sekarang.

Dalam satu kenyataan di laman Twitternya hari ini, beliau memuat naik grafik berkaitan kenaikan kes Covid-19 yang bermula pada 1 April lalu.

Covid-19: Bersiap sedia hadapi yang terburuk, kata KP Kesihatan

BERITA BERKAIT
POPULAR