Rekod lagi, dua hari berturut-turut

Negara sekali lagi mencatat rekod baharu jumlah jangkitan harian Covid-19 pada Jumaat (4 Mac 2022), tertinggi sejak rakyat Malaysia pertama disahkan positif virus SARS-CoV-2 yang berasal dari Wuhan, China, pada Januari 2020.

Tatkala kes aktif kembali melonjak melepasi 300,000, sebanyak 33,209 jangkitan baharu Covid-19 direkodkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam, termasuk 441 kes import, menjadikan kumulatif positif sebanyak 3,561,766 kes, menurut data Kementerian Kesihatan (KKM).

Jangkitan harian tertinggi sebelum ini direkodkan pada Khamis, 24 Februari lalu iaitu sebanyak 32,070 kes, namun pecah apabila 32,467 kes baharu direkodkan pada Khamis lalu (3 Mac 2022).

Walaupun, kes terus melonjak tinggi KKM menyatakan ia tidak seteruk ketika kemuncak penularan varian Delta pada Julai dan Ogos tahun lalu, berdasarkan jumlah kemasukan ke hospital, ICU dan kadar kematian harian.

Berdasarkan statistik laman sesawang CovidNOW kendalian KKM yang dikemas kini pagi ini, seramai 26,352 pesakit telah sembuh semalam menjadikan kumulatif pulih sebanyak 3,223,650.

Sehingga kini sebanyak 305,010 kes aktif dilaporkan, meningkat berbanding 298,231 pada Khamis, dengan 292,696 pesakit menjalani kuarantin di rumah (286,097 Khamis); dan 3,442 ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC), turun sedikit berbanding 3,456 pada Khamis.

Seramai 8,524 pesakit pula dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut, meningkat tiga hari berturut-turut berbanding 7,542 pada Selasa, 8,182 (Rabu), dan 8,322 (Khamis).

Sementara itu seramai 348 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), turun lagi berbanding 355 pada Khamis dan 360 (Rabu). Jumlah ini termasuk 211 daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan, meningkat berbanding 208 pada Khamis dan 194 pada Rabu.

Data CovidNOW juga menunjukkan enam negeri merekodkan peningkatan kes harian, dengan Lembah Klang – Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya – kembali menjadi titik panas penularan Covid-19 di Malaysia.

Jangkitan Covid-19 di Selangor semalam melonjak kepada 8,897 kes berbanding 8,053 pada Khamis, naik tiga hari berturut-turut, setelah merekodkan 6,494 pada Rabu dan 5,969 (Selasa).

Selangor kini merekodkan kumulatif positif sebanyak 979,047 kes dengan 888,379 pesakit telah sembuh, 10,230 kematian dan 80,438 kes aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 78,516 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 361 ditempatkan di PKRC; 1,511 dimasukkan ke hospital; dan 50 dirawat di ICU, dengan 34 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga Jumaat 4,799,005 atau 94.8 peratus populasi di Selangor telah lengkap menerima vaksin Covid-19, 5,042,691 atau 99.4 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 3,783,462 atau 89.4 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Kuala Lumpur pula merekodkan 4,105 kes baharu berbanding 2,881 kes pada Khamis, diikuti Pulau Pinang (2,592 kes baharu, 2,488 Khamis); Johor (2,359 kes baharu, 1,979 Khamis); Sarawak (1,333 kes baharu, 1,206 Khamis); dan Putrajaya (187 kes baharu, 135 Khamis).

Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 4 Mac 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR