[KEMAS KINI] Malaysia catat rekod baharu kematian

Data 8 Julai 2021

Malaysia merekodkan 135 kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, yang merupakan rekod kematian tertinggi pernah dicatatkan sejak virus itu dikesan di Malaysia tahun lalu.

Angka itu menjadikan kumulatif kematian di seluruh negara sejak pesakit pertama Covid-19 dikesan di negara ini kepada 5,903 kes.

Jumlah kematian itu seiring dengan peningkatan tertinggi jangkitan baharu dalam tempoh berkenaan sebanyak 8,868 kes. Daripada jumlah kes baharu itu, 1,991 membabitkan bukan warganegara.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kematian itu, 119 pesakit membabitkan warganegara.

Pada 2 Jun lalu negara merekodkan 126 kematian.

Pada masa sama beliau berkata, 5,802 kes telah sembuh menjadikan kumulatif kepada 725,480, manakala 77,275 kes lagi masih aktif.

Beliau berkata 952 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi dengan 445 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan dalam tempoh itu 29 kluster baharu dikesan, dengan jangkitan di tempat kerja adalah yang paling banyak dilaporkan iaitu membabitkan 19 kluster.

Katanya lapan kluster lagi membabitkan jangkitan dalam komuniti, serta masing-masing satu melibatkan kluster kumpulan berisiko tinggi di Johor dan kluster pendidikan tinggi di Selangor.

Beliau berkata jumlah kluster yang dikesan sejak pandemik melanda negara kini mencecah 2,999 tetapi 2,144 telah ditamatkan, sementara 855 kluster lagi masih aktif.

Berdasarkan statistik yag dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan lima kluster tempat kerja dengan jumlah tertinggi membabitkan 132 individu di Tapak Bina jalan Sri Permaisuri, Cheras.

Empat jangkitan di tempat kerja turut dilaporkan di Selangor; diikuti masing-masing tiga kluster di Negeri Sembilan dan Johor; Pahang (dua); dan masing-masing satu di Kelantan, Putrajaya, Perak dan Kedah.

Kelantan, Sabah, Kuala Lumpur, Sarawak, Perak, dan Labuan turut melaporkan kes-kes jangkitan dalam komuniti.

Data 8 Julai 2021

POPULAR