
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Kabinet tidak menolak kemungkinan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat skandal perolehan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang gagal disiapkan, walaupun sebanyak RM6 bilion telah dibayar kepada kontraktor pembinaan.
Untuk rekod, kontrak pembekalan enam kapal LCS bernilai RM9.128 bilion itu diberikan ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Menteri Pertahanan secara rundingan terus.
Ia bermula dengan pemberian surat anugerah pada 2011, dengan tempoh kontrak bermula pada 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023. Tujuan perolehan ini bagi meningkatkan keupayaan TLDM dalam melaksanakan pelbagai operasi.
Namun demikian sehingga kini tiada sebuah kapal LCS yang telah siap dibina.
Rancangan penubuhan RCI itu telah dibentangkan kepada Kabinet hari ini (17 Ogos 2022), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Dalam keadaan sedemikian saya cukup yakin akan dilaksanakan (RCI) bahkan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) ada sebutkan.
“Kita tidak tutup, ada kemungkinan mengadakan RCI jadi maknanya belum tertutup lagi soalan itu ,walaupun dianggap SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dah buat yang terbaik,” katanya hari ini.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula berkata penubuhan RCI bergantung kepada keputusan perbincangan Kabinet.
“Ia masih dalam proses (perbincangan) membabitkan semua pihak khususnya menteri dan saya tidak boleh dedahkan apa yang dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri itu.
“Tetapi ia (hasil perbincangan) mesti juga dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan pandangan baginda,” katanya hari ini.
Sambil menyatakan banyak perkara mengenai isu RCI dan LCS dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, beliau turut membayangkan perbincangan akan berlanjutan hingga ke mesyuarat akan datang.
“Apa yang dibincangkan dalam Kabinet, masih pada peringkat perbincangan dan mungkin akan dibincangkan lagi pada mesyuarat (Kabinet) akan datang.
“Apabila kita sudah mendapat keputusan dan pendirian yang jelas, akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan pandangan baginda pula,” katanya.