Rayuan Zahid gabungkan pertuduhan kes Yayasan Akalbudi ditolak

April 5, 2021 · Isu semasa

Mahkamah Persekutuan menolak rayuan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menggabungkan 12 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang dihadapinya kepada hanya tiga pertuduhan dalam perbicaraan kes membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed memutuskan bahawa tidak berlaku pelanggaran Seksyen 153 (2) Kanun Tatacara Jenayah sambil menambah seksyen itu bukan peruntukan mandatori.

“Justeru kami bersetuju dengan Mahkamah Rayuan berhubung isu ini bahawa langkah menggabungkan kesemua 12 pertuduhan CBT kepada hanya tiga pertuduhan bukanlah sesuatu yang mandatori,” katanya ketika menolak rayuan Ahmad Zahid.

Memetik laporan Bernama, Azahar dilaporkan berkata, adalah tidak memadai jika Ahmad Zahid sekadar mendakwa bahawa beliau telah dihalang daripada mendapat perbicaraan yang adil tanpa menunjukkan bukti berhubung perkara itu.

“Kami mendapati aduan bahawa pertuduhan terhadap beliau (Ahmad Zahid) akan menimbulkan persepsi advers tidak mempunyai merit. Mahkamah akan memutuskan kesemua pertuduhan berdasarkan bukti yang dikemukakan,” katanya.

Beliau berkata, persepsi advers bukanlah satu faktor yang diberi pertimbangan oleh mahkamah dan publisiti advers juga tidak akan menjejaskan hak Ahmad Zahid untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

Azahar berkata, peguam Hisyam Teh Poh Teik telah berhujah bahawa sekiranya didapati bersalah atas semua pertuduhan, Ahmad Zahid akan dihukum secara berasingan bagi 12 pertuduhan berbanding hanya tiga.

“Dalam penghakiman kami, pada peringkat ini, adalah tidak relevan untuk kami mempertimbang isu hukuman,” katanya.

Beliau berkata, biasanya, hukuman bergantung kepada budi bicara mahkamah yang mendengar perbicaraan berdasarkan prinsip sedia ada selepas mengambil kira semua faktor yang relevan termasuk rayuan tertuduh dan keadaan persekitaran kes.

Azahar, yang bersidang bersama dengan dua Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, secara sebulat suara menolak rayuan Ahmad Zahid selepas memutuskan tidak ada merit dalam rayuan itu.

Sebelum ini, Ahmad Zahid gagal dalam usahanya untuk menggabungkan kesemua pertuduhan CBT terhadapnya di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang menyebabkan beliau membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Ahmad Zahid telah mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya adalah CBT, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan wang berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pada 19 Mac lepas, pendakwaan telah menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah telah mengarahkan pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan bertulis masing-masing pada 28 Mei dan menetapkan 28 hingga 30 Jun serta 1 hingga 2 Julai sebagai tarikh pendengaran bagi hujahan lisan.

Terdahulu, pada prosiding hari ini, Hisyam berhujah bahawa ketidakpatuhan terhadap Seksyen 153 (2) adalah tidak adil kepada anak guamnya kerana jika beliau disabitkan dengan kesemua 12 pertuduhan CBT, Ahmad Zahid akan berdepan hukuman berasingan dan tempoh pemenjaraan mungkin diarahkan dilaksanakan secara berturut-turut.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran pula menggesa mahkamah untuk menolak rayuan itu atas alasan keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan menggabungkan kesemua pertuduhan kepada hanya tiga adalah tepat dan mempunyai asas.

Berita berkaitan
Mas Ermieyati kaji tindakan terhadap tuduhan Zahid, nafi guna dana parti
11 jam lalu· Isu semasa
Permohonan Rosmah cuba singkir lagi Sri Ram didengar 6 Julai
13 jam lalu· Isu semasa
Pemuda UMNO minta PM batalkan lantikan Tajuddin sebagai Duta
June 29, 2022· Politik
Mat Maslan yakin UMNO tidak berpecah selepas pendedahan Tajuddin
June 29, 2022· Politik
Popular
Lokman dituduh hina mahkamah ketika prosiding kes Zahid berjalan
June 30, 2022
Zahid dakwa tertekan, tak nafi guna dana YAB bayar kad kredit
June 30, 2022
Zahid diingat jaga sikap, mahkamah bukan kedai kopi, MT UMNO
June 30, 2022
Mas Ermieyati kaji tindakan terhadap tuduhan Zahid, nafi guna dana parti
June 30, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Lesen pengilang enggan beli sawit, jejas minyak masak digantung
5 jam lalu · Isu semasa
JPA kaji waktu kerja 4 hari seminggu
5 jam lalu · Isu semasa
SRC: 29 Julai pengurusan kes Najib jawab afidavid pendakwaaan
5 jam lalu · Isu semasa
APMM aktifkan operasi cari bot bawa 13 pemancing, kru
5 jam lalu · Isu semasa
Agihan pendapatan ASB 3 Didik 4.25 sen
8 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Marah disaman tiada lesen, langgar kereta JPJ sehingga terbalik
6 jam lalu
[VIDEO] Presiden parti politik dalang ‘kad kebal’ warga asing
11 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok