
Bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, pada Julai 2020 selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan berkaitan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Datuk Seri Najib Razak hari ini menjelaskan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kekal sebagai salah seorang peguamnya dan hanya digugurkan untuk rayuan terakhirnya terhadap sabitan kes SRC International Sdn Bhd (SRC), di Mahkamah Persekutuan.
Dalam satu kenyataan hari ini, bekas Perdana Menteri itu mengesahkan dia melantik pasukan peguam baharu semalam untuk rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan kesalahannya menyeleweng lebih RM42 juta dana SRC.
Najib mengesahkan Hisyam Teh Poh Teik akan menjadi peguam utamanya dalam rayuan SRC, manakala firma guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners akan menjadi peguamcara untuk kes ini.
Menurutnya dia memutuskan untuk melantik pasukan peguam baharu bagi rayuan terakhir SRC selepas Mahkamah Tinggi pada 21 Julai menolak permohonan Peguam Diraja (QC) Britain Jonathan Laidlaw untuk dibenar mewakilinya dalam perbicaraan di Mahkamah Persekutuan.
Najib berkata dia juga mendapatkan nasihat peguam kanan di Singapura dan India sebelum memutuskan untuk menukar pasukan peguamnya untuk rayuan terakhir itu.
Dia juga “berkeyakinan bahawa pasukan baru yang telah dilantik akan membawa perspektif berbeza” kepada pembelaannya.
Najib berkata dia juga merujuk kepada permohonannya pada 7 Jun lalu kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keseluruhan perbicaraan SRC dan mendesak perbicaraan semula, dengan mengatakan bahawa wujud isu konflik kepentingan melibatkan hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Menurutnya dia tidak mahu mengulas mengenai isu ini kerana permohonan itu kini belum selesai di hadapan Mahkamah Persekutuan.
Bagi semua perbicaraan jenayah lain yang sedang dihadapi Najib di mahkamah tempatan, Ahli Parlimen Pekan itu mengesahkan bahawa Shafee dan firma guamannya Shafee & Co akan terus menjadi peguamnya.
Najib juga berkata adalah “tidak adil” untuk media membuat kesimpulan atau melaporkan bahawa Shafee & Co telah “gugurkan” atau “dibuang”.