Rayuan Sajat ditolak, hukuman ganti rugi RM200 ribu kekal

Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali Sajat yang sedang diburu pihak berkuasa gagal mendapat kebenaran untuk merayu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan mereka membayar ganti rugi hampir RM200, 000.

Mahkamah Rayuan juga mengarahkan Sajat, Nur Sajat Aesthetic dan Ashaari Maznan untuk membayar kos guaman sebanyak RM5,000 kepada plaintif, usahawan Nurwati Hussin iaitu pengasas OWA Resources.

“Keputusan notis usul kebenaran merayu ditolak oleh mahkamah,” kata Peguam utama OWA Resources, Nurul Hafidzah Hassan dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors yang mewakili plaintif dalam satu kenyataan hari ini.

OWA Resources memfailkan saman terhadap Nur Sajat Aesthetic di atas kegagalan syarikat usahawan tersebut membekalkan bengkung dan girdle yang dipesan oleh stokis itu di antara bulan Februari dan April tahun 2018.

Sebelum kes dibawa ke Mahkamah Tinggi, pada bulan Januari tahun 2020, plaintif Nurwati Hussin telah memenangi kes pelanggaran kontrak tersebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Mahkamah Sesyen mendapati barisan peguam plaintif telah membuktikan pada keseimbangan kemungkinan (on the balance of probabilities) yang ketiga-tiga defendan telah melanggar kontrak perniagaan dengan Nurwati Hussin.

Selepas itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menerima rayuan OWA Resources berkaitan ganti rugi dan kos yang tidak diberikan oleh Mahkamah Sesyen.

Pada bulan Disember tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi bersetuju bahawa terdapat bukti yang mencukupi bagi meningkatkan pembayaran. Ini menjadikan jumlah gantirugi dan kos yang perlu dibayar kepada OWA Resources hampir RM200, 000.

Semasa kes saman langgar kontrak itu berlangsung, Nurwati Hussin turut ditahan polis untuk disoal siasat apabila Sajat membuat laporan polis palsu yang mendakwa kononnya plaintif telah menyelewengkan wang syarikat dan melakukan pecah amanah sebanyak RM1 juta.

Berita penahan polis tersebut telah mendapat liputan akhbar di peringkat nasional oleh pihak media dan ianya telah memberikan persepsi negatif kepada nama baik usahawan Nurwati Hussin.

BERITA BERKAIT
POPULAR