
Lembaga Hasil Dalam Negeri menuntut cukai pendapatan daripada anak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa, sebanyak RM10.3 juta sebelum ini. - Gambar Instagram
Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Oktober ini untuk mendengar rayuan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap penolakan Mahkamah Tinggi berhubung permohonannya supaya penghakiman ringkas dimasukkan ke atas anak perempuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa berhubung dakwaan tidak membayar cukai pendapatan.
Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Nooryana Najwa, ketika dihubungi, mengesahkan tarikh perbicaraan susulan pengurusan kes yang diadakan di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan, Norshakinah Ahmad Kamarudin semalam, lapor Bernama.
Pada 26 Ogos 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Faizah Jamaludin menolak permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman ringkas terhadap Nooryana Najwa bagi memperoleh semula RM10.3 juta cukai pendapatan yang tidak dibayar.
Pada 24 Julai 2019, kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman melalui LHDN di Mahkamah Tinggi menamakan Nooryana Najwa sebagai defendan.
Menurut pernyataan tuntutan, LHDN mendakwa Nooryana Najwa gagal menyerahkan Borang Penyata Cukai Pendapatan Individu kepada LHDN, di bawah Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967, bagi tahun taksiran dari 2011 hingga 2017.
LHDN berhujah sehingga kini, dia masih belum menjelaskan jumlah cukai pendapatan yang terhutang termasuk kenaikan yang berjumlah RM10,335,292.36.
Sementara itu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 15 Julai ini untuk satu lagi pengurusan kes rayuan Najib dan anaknya, Datuk Nazifuddin berhubung ringkasan penghakiman yang dibuat terhadap mereka berkaitan pembayaran cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN.
Kedua-duanya diberi kebenaran untuk meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan pada Mei tahun ini atas sembilan persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh mahkamah.
Wee yang turut mewakili Najib dan Nazifuddin mengesahkan tarikh itu susulan pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan, Norhafizah Zainal Abidin hari ini.
Dua Mahkamah Tinggi berasingan telah membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman ringkas bagi mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta dari Nazifuddin, masing-masing bagi tempoh antara 2011 dan 2017.
Penghakiman ringkasan diperoleh apabila mahkamah memutuskan kes, melalui penghujahan bertulis, tanpa perbicaraan penuh dan memanggil saksi.
Kedua-dua, Najib dan Nazifuddin kalah dalam rayuan di Mahkamah Rayuan pada September tahun lalu untuk mengetepikan penghakiman ringkasan itu.