
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tiba di Istana Keadilan di Putrajaya kira-kira jam 8.58 pagi tadi (5 September 2022) untuk mendengar rayuan permohonan membatalkan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram RM5.2 juta. - Gambar Heikal Rosli/Agenda Daily
Mahkamah Rayuan hari ini (5 September 2022) menolak permohonan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bagi membatalkan 9 daripada 13 tuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan RM5.2 juta.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, menggugurkan empat pertuduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Peguam Azeez, Amer Hamzah Arshad pada sidang media selepas prosiding pagi ini berkata empat pertuduhan itu digugurkan setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa maklumat lokasi kejadian iaitu di sekitar Lembah Klang terlalu umum, dan akan memprejudiskan Azeez.
Beliau berkata bagaimanapun, bagi sembilan lagi pertuduhan, perbicaraan akan diteruskan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, yang kali terakhir mendengar kes itu pada 18 Disember 2020.
Pada 13 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Azeez untuk membatalkan 13 pertuduhan yang dihadapinya itu.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Muhammad Jamil selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad dan peguam Amer Hamzah yang mewakili Azeez.
Muhammad berkata, keputusan itu juga dibuat selepas mendapati kesemua pertuduhan itu tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.
Selain itu, kata beliau, alasan yang dikemukakan pemohon (Abdul Azeez) adalah defektik, mala fide dan bertentangan dengan polisi awam, selain bermotifkan politik dan tidak berasas.
Susulan itu, Azeez mengemukakan rayuan untuk menggugurkan pertuduhan berkenaan di Mahkamah Rayuan.
Azeez, 54, yang juga Ahli Parlimen Baling menghadapi tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram mencecah jutaan ringgit.
Projek itu dilaporkan melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru dan kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).
Mengikut kertas pertuduhan, Azeez didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di ibu negara pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017, dan 10 April 2018.
Selain itu dia turut didakwa atas 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 serta dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Terdahulu, Azeez tiba di Mahkamah Rayuan di Kompleks Istana Kehakiman di Putrajaya, kira-kira jam 8.58 pagi diiringi peguamnya.