
Datuk Seri Najib Razak tiba di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya kira-kira jam 9.10 pagi tadi untuk perbicaraan rayuan terakhir kes SRC International Sdn Bhd. - Gambar Heikal Rosli/Agenda Daily
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengetuai panel lima hakim yang akan mendengar rayuan terakhir bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, hari ini (15 Ogos).
Hakim tertinggi, yang mempengerusikan panel itu, disertai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Hakim Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Nallini Pathmanathan; Mary Lim Thiam Suan; dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Pasukan pembelaan Najib dijangka membuat permohonan untuk meminda usulnya bagi mengemukakan bukti baharu, diikuti dengan pendengaran usul itu sendiri.
Pasukan baharu itu, yang diketuai peguam utama Hisyam Teh Poh Teik, juga akan membuat permohonan lisan untuk menangguhkan prosiding rayuan itu, kerana mereka sebelum ini dikatakan memerlukan lebih banyak masa untuk meneliti rekod rayuan.
Permohonan mereka melalui surat kepada mahkamah untuk menangguhkan rayuan utama telah ditolak bulan lalu.
Terdahulu menurut Bernama, Najib tiba di Istana Kehakiman pada jam 9.10 pagi menaiki kereta Mercedes Benz.
Sekumpulan kecil penyokong Najib juga kelihatan menunggu di luar Istana Kehakiman.
Anaknya Mohd Nizar turut hadir.
Selain Hisyam, peguam dalam pasukan pembelaan Najib ialah Datuk Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat, Rueben Mathiaravanam dan Hannah Kam.
Sementara itu, pendakwaan diketuai Ketua Pendakwa Raya Ad Hoc Datuk V Sithambaram Timbalan Pendakwa Raya Donald Joseph Franklin; Sulaiman Kho Kheng Fuei; Mohd Ashrof Adrin Kamarul; dan Manjira Vasudevan.
Najib telah memfailkan 94 alasan mengapa Mahkamah Rayuan telah tersilap dalam keputusannya untuk mengekalkan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi.
Sebelum ini, pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas Najib didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram RM42 juta dana milik SRC.
Selepas sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dikekalkan di Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021.