Rayuan 14 individu ‘geng Nicky’ mohon dibebas didengar 7 Julai

Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Julai depan untuk mendengar rayuan 14 individu, termasuk dua adik kepada ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee, yang memohon supaya dibebaskan atas pertuduhan terbabit dalam kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai ‘Geng Nicky’.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said menetapkan tarikh itu, selepas membenarkan permohonan peguam Datuk Rajpal Singh dan Timbalan Pendakwa Raya Samihah Rhazali, untuk menangguhkan pendengaran rayuan hari ini, lapor Bernama.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Nordin Hassan.

Pada 30 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas tanpa membebaskan 14 individu itu, termasuk empat warganegara China, daripada tuduhan itu, dan mereka merayu terhadap keputusan itu memohon dibebaskan.

Hakim Datuk Abd Halim Aman membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memohon agar kesemua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan, kerana pendakwaan berhasrat untuk meneruskan pertuduhan pada masa akan datang.

Terdahulu, Rajpal yang mewakili 13 perayu memohon penangguhan, kerana sedang menunggu perkembangan rayuan satu kes berlainan di Mahkamah Persekutuan, membabitkan seorang wanita yang dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh pembantu rumah warga Indonesia, yang akan didengar pada 23 Jun ini.

“Perkembangan kes itu penting kerana mempunyai hubung kait dengan rayuan yang akan dikemukakan di hadapan Yang Arif. Mohon satu tarikh baharu untuk pendengaran rayuan bagi kes ini,” kata Rajpal. Seorang lagi perayu diwakili peguam Jasmine Chong.

Dua tertuduh yang merupakan adik Nicky adalah Datuk Liow Wei Kin dan Datuk Liow Wei Loon, manakala tertuduh lain ialah Lee Han Keat, Lee Kam Onn, Datuk Lee Kum Weng, Eee Eng Chee, Dr Jovian Joris Tan Chern Chian, Datuk Loo Siew Chin, Lim Kang Li, Datuk Seri Andrew Lim Kim Ming serta empat warga China Huang Lei, Wang Yu Jun, Gu Xing Qiong serta Jiang Xue, yang berusia awal 20an hingga 56 tahun.

Mengikut pertuduhan, 13 tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’ di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Jan 2017 dan 20 Mac 2021.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Kim Ming didakwa membantu kumpulan jenayah sama di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Jan 2017 dan 29 Mac 2021, mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

BERITA BERKAIT
POPULAR