Raya Cina: Baik pulih lebuh raya dihentikan sehingga 7 Februari

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya menghentikan kerja pembaikan dan penyelenggaraan tidak penting sepanjang tempoh musim perayaan Tahun Baharu Cina milai semalam hingga 7 Februari ini.

LLM dalam satu kenyataan semalam juga mengarahkan pemegang konsesi terbabit membuat persediaan rapi bagi melancarkan perjalanan sepanjang cuti itu.

Langkah itu perlu dibuat susulan jangkaan bahawa jumlah aliran trafik yang menggunakan lebuh raya akan meningkat kepada lebih 4.6 juta kenderaan sehari sepanjang tempoh itu.

Sehubungan itu, LLM berkata seua kerja pembaikan dan penyelenggaraan melibatkan penutupan lorong di laluan utama lebuh raya akan dihentikan kecuali bagi kerja-kerja yang melibatkan kes kecemasan sahaja.

“Semua lorong di plaza tol akan beroperasi dan lorong berlapis tambahan disediakan di plaza tol yang dikenal pasti bakal berlaku kesesakan.

“Petugas tambahan juga ditempatkan bagi membantu melancarkan transaksi tol,” kata LLM.

Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi selama 24 jam.

Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat keadaan trafik atau bantuan dengan menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.

Maklumat keadaan trafik juga boleh diperolehi menerusi laman Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMinfotrafik.

BERITA BERKAIT
POPULAR