Rasuah: Pegawai bahagian perolehan ditahan reman tiga hari

Pegawai bahagian perolehan sebuah kementerian direman tiga hari bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM150,000.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh perintah menahan reman seorang lagi kakitangan sebuah kementerian hari ini selama tiga hari bagi membantu siasatan kes rasuah RM150,000 untuk mendapatkan projek bernilai RM2.6 juta.

Perintah tahanan reman ke atas pegawai itu sehingga 28 Jun dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi selepas menerima permohonan pegawai penyiasat SPRM.

Memetik laporan FMT sumber berkata, suspek lelaki berusia 39 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, kira-kira jam 8 malam tadi.

“Suspek ditahan susulan siasatan yang dilakukan terhadap penolong setiausaha bahagian kementerian itu dan pemilik-pemilik serta pengurus syarikat yang telah ditahan sejak 21 Jun lalu.

“Hasil siasatan ini telah berjaya membongkar kegiatan sindiket ini yang dipercayai membolot 22 projek bernilai RM135 juta di kementerian tersebut sejak 2017 hingga kini. Ini termasuk projek berkaitan penahanan suspek hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, sumber berkata sindiket ini juga dipercayai mengupah pihak lain pula untuk mengendalikan projek-projek tersebut.

Sumber berkata suspek dikatakan menerima RM150,000 sebagai rasuah bagi membolehkan sindiket terbabit memperoleh projek pembekalan kelengkapan menyelam bernilai RM2.6 juta bagi sebuah agensi penguatkuasa.

Pada 21 Jun lalu, empat pemilik syarikat kejuruteraan marin telah direman SPRM kerana disyaki memberi rasuah bagi tujuan mendapatkan projek pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan marin di agensi penguat kuasa sama yang dianggarkan berjumlah RM10 juta.

Pada 23 Jun pula, SPRM menahan seorang penolong setiausaha bahagian di kementerian berkaitan dipercayai menerima rasuah lebih RM1 juta sejak 2016.

Penolong setiausaha itu dipercayai menerima suapan berbentuk wang tunai kira-kira RM300,000, barang kemas, tanah lot berkeluasan dua ekar, rumah kedai dua tingkat dan sebuah motosikal sejak 2016 hingga kini, dengan nilai keseluruhan dianggar lebih RM1 juta.

POPULAR