
Mahkamah Tinggi Shah Alam akan membuat keputusan sama ada memerintahkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membela diri terhadap 40 tuduhan rasuah atau membebaskannya hari ini (23 September 2022).
UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menjadi tumpuan sekali lagi hari ini (23 September 2022), apabila pemimpin tertingginya akan mengetahui nasib sama ada, diperintah membela diri atau dibebaskan daripada tuduhan menerima rasuah ketika berkuasa memerintah negara sebelum 2018 lalu.
Mendapat perhatian kerana mendesak Perdana Menteri membubarkan segera Parlimen tanpa mengira rakyat akan berdepan bencana musim tengkujuh atau tidak, tumpuan hari ini beralih kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang akan mengetahui nasibnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini.
Pengerusi BN itu berdepan 40 pertuduhan rasuah berhubung sistem visa asing luar negara (VLN) yang melibatkan Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), ketika memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri sebelum ini.
Pada 24 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Zahid membela diri terhadap 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Zahid yang juga pengasas yayasan terbabit.
Dia yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dari 2015 hingga 2018, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi dan pendakwaan berpeluang menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa dijangka membuat keputusannya pada jam 9 pagi ini setelah mendengar keterangan daripada saksi sejak perbicaraan bermula 23 Mei 2021.
Pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani, manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.
Sekiranya keputusan mahkamah mendapati terdapat kes prima facie terhadap Zahid, maka dia akan dipanggil untuk membela diri, namun jika keputusan adalah sebaliknya, dia akan dilepas dan dibebaskan.
Mahkamah akan menggunakan Seksyen 173(a) Kanun Tatacara Jenayah, iaitu sebelum tertuduh dipanggil memberi keterangan membela diri, hakim akan memberikan tiga pilihan kepada Zahid berhubung keterangan yang bakal dibuat.
Pilihan pertama adalah memberikan keterangan bersumpah dalam kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas keterangan itu.
Keduanya ialah memberikan keterangan dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah dan pendakwaan tidak boleh menyoal balas keterangan tertuduh.
Manakala, pilihan ketiga ialah berdiam diri. Tiga pilihan ini harus diterangkan sifat dan akibatnya oleh hakim dan pilihan tertuduh hendaklah direkodkan.
Pada 11 Ogos, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 18 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 24 Mei 2021 dan pihak pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 7 September lalu.
Antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tan Sri Alwi Ibrahim serta tiga bekas pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun.
Pada 26 Jun 2019, Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem VLN. Bagaimanapun pada 31 Julai 2019, mahkamah membenarkan permohonan Presiden UMNO itu untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi dibicarakan bersama-sama 33 lagi pertuduhan rasuah membabitkan VLN.
Kesemua kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan bersama.
Zahid, 69, didakwa terhadap 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada syarikat UKSB sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.
Dia didakwa melakukan kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sebagai Menteri Dalam Negeri, menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.
Bagi tujuh pertuduhan lagi, Zahid turut didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc; dan US$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.
Zahid dituduh melakukan perbuatan itu di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017.
Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Seramai 40 wartawan tempatan dan asing diberikan pas untuk mengikuti prosiding berkenaan menerusi satu pautan video di sebuah bilik selain mahkamah juga menyediakan 30 pas bagi jurugambar dan jurukamera video yang ditempatkan di lobi Kompleks Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.