Rasuah industri automotif disiasat dari pelbagai sudut: KP SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat daripada pelbagai aspek berhubung kes rasuah projek bernilai RM85 juta, membabitkan institusi automotif negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata siasatan itu termasuk membuat siasatan forensik terhadap akaun syarikat yang terlibat di dalam kes berkenaan, lapor Bernama.

“Semua yang ditahan (dalam kes ini) masih dalam siasatan kita, dan banyak perkara kita perlu lihat (dalam melakukan siasatan).

“Terutamanya, kita kena lihat wang-wang yang disalurkan kepada syarikat lapisan kedua…yang ini memerlukan kita buat forensik akaun kepada syarikat berkenaan (yang terlibat),” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM di Kompleks SPRM Negeri Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes berkenaan.

Azam berkata selain Akta SPRM 2009, kes berkenaan juga akan disiasat mengikut Akta Penggubahan Wang Haram.

Sementara itu, beliau berkata seramai 10 individu telah ditahan membabitkan kes itu, yang mana sembilan daripadanya adalah lelaki termasuk seorang bergelar Datuk, dan seorang wanita ditahan pada 23 Mac lepas.

Menurut sumber SPRM, dua daripada individu ditahan, disyaki telah meminta dan menerima rasuah lebih RM14.9 juta daripada tiga individu yang ditahan, sebagai balasan membantu sebuah syarikat mendapatkan geran menerusi tiga syarikat lain antara 2018 dan 2020.

BERITA BERKAIT
POPULAR