Rasuah harus dibendung sebelum jadi pandemik, kata Hakim kes Rosmah

September 2, 2022 · Isu semasa

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan, yang mensabitkan Datin Seri Rosmah Mansor hari ini dengan pertuduhan rasuah, berkata kes sedemikian sudah meresapi hampir setiap lapisan masyarakat dan perlu dibendung sebelum menjadi pandemik.

Dalam penghakiman setebal 116 halaman, Mohamed Zaini berkata jika rasuah dibiarkan tanpa sebarang kekangan, masyarakat di negara ini akan menerimanya sebagai satu kebiasaan dalam hidup atau dunia perniagaan, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman selepas mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

“Saya telah mengambil kira faktor rayuan yang dikemukakan oleh peguam yang bijaksana serta respons pihak pendakwaan. Pertimbangan utama dalam memutuskan hukuman yang sesuai ialah kepentingan awam.

“Hukuman harus menggambarkan rasa tidak senang atau jijik terhadap jenayah itu. Hukuman juga mestilah mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan. Ia juga hendaklah menjadi faktor pencegah kepada tertuduh dan orang lain daripada melakukan jenayah seperti ini,” katanya.

Mohamed Zaini berkata hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 26(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 diperuntuk di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang menyatakan bahawa mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16, 17, 20, 21, 22 dan 23 hendaklah apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Beliau berkata hukuman yang diperuntuk di bawah seksyen itu adalah berat yang menandakan keseriusan kesalahan rasuah.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1).

“Justeru, tertuduh dihukum penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan hukuman berjalan serentak. Hukuman bermula dari tarikh penghakiman.

“Hukuman berjalan serentak kerana kesalahan yang dilakukan berkait rapat antara satu sama lain. Tertuduh juga didenda sebanyak RM970,000,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan, atau penjara 10 tahun,” katanya.

Mohamed Zaini juga berkata peguam Rosmah telah menyatakan bahawa mereka akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan dan meminta agar hukuman penjara serta denda ditangguhkan yang tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.

“Oleh itu, saya menangguhkan hukuman penjara dan denda sehingga rayuan tertuduh di Mahkamah Rayuan selesai.

“Jaminan RM2 juta yang dibuat sebelum ini dilanjutkan dengan syarat yang sama sehingga rayuan selesai,” katanya.

Ketika ditemui pemberita, peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah berkata denda yang dikenakan “belum pernah terjadi” dan merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah perundangan Malaysia.

“Siapa yang mampu membayar denda hampir RM1 bilion?… Anak guam saya tidak mempunyai sebarang punca pendapatan. Adakah ini yang kita sifatkan sebagai keadilan?” katanya.

Jagjit berkata beliau akan memfailkan rayuan esok.

Berita berkaitan
RM2.08 bilion masuk akaun Najib dalam dua bulan, kata saksi
8 jam lalu· Isu semasa
Najib ke mahkamah sambung kes RM2.28b 1MDB selepas keluar hospital
16 jam lalu· Isu semasa
PKR hormati keputusan mahkamah kes anak murid, kata Anwar
September 24, 2022· Politik
MP PKR juga gesa hormat keputusan mahkamah kes rasuah Zahid
September 23, 2022· Politik
Popular
Pendakwaan kemuka rayuan pembebasan Zahid: Laporan
September 26, 2022
Mangsa banjir di Johor naik 222 orang, banyak kampung Parlimen Mat Maslan terjejas
September 26, 2022
Pengurus bank sahkan lebih RM90 juta masuk akaun peribadi Najib
September 26, 2022
Dakwaan murid hampir diculik: Polis Perak tubuh pasukan khas siasatan
September 26, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Mangsa banjir di Johor naik 222 orang, banyak kampung Parlimen Mat Maslan terjejas
8 jam lalu · Isu semasa
Pendakwaan kemuka rayuan pembebasan Zahid: Laporan
9 jam lalu · Isu semasa
Bursa Malaysia ditutup rendah
9 jam lalu · Isu semasa
PAC siasat kelewatan projek 3 kapal OPV, kontrak diberi sejak zaman BN
9 jam lalu · Isu semasa
Dakwaan murid hampir diculik: Polis Perak tubuh pasukan khas siasatan
11 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Sambutan ulang tahun ke-6 Bersatu meriah, agih bantuan makanan
7 jam lalu
[VIDEO] Penganalisis ramal OPR naik lagi November depan
11 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok