Rasuah: Bekas CEO kolej keluar sijil tak ikut prosedur berdepan penjara

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah kolej swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuantan hari ini, atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,000 bagi mengeluarkan sijil dan transkrip tanpa mengikut prosedur, tujuh tahun lepas.

Amran Mustaffa, 58, didakwa menerima suapan itu pada 21 dan 24 Oktober 2015 daripada seorang pelajar lelaki yang dibayar secara dalam talian menerusi orang tengah yang dikatakan sebagai upah untuk mengeluarkan sijil dan transkrip Program Asasi Sains di Kolej Sentral tanpa mengikut prosedur yang betul.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM Kamariah Seman menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, bagaimanapun peguam Ahmad Mawardi Che Hasan yang mewakili Amran merayu jumlah itu dikurangkan, lapor Bernama.

“Tertuduh tidak bekerja sejak lima tahun lepas, malah telah digantung tugas sebelum dipecat dan dia tidak dibayar elaun sepanjang tempoh tersebut.

“Tertuduh mempunyai sembilan orang anak yang masih belajar di kolej, sekolah menengah dan rendah,” katanya dan menambah anak guamnya telah memberi kerjasama yang baik sejak kes itu disiasat lima tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 17 Mei ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR