
Berdasarkan situasi semasa, banjir pada tahun ini boleh berlaku bila-bila masa.- Gambar Agenda Daily
Banjir merupakan suatu kejadian alam yang tidak dapat dielakkan oleh semua manusia dan dapat mengakibatkan kehilangan nyawa.
Bukan sahaja merosakkan harta benda, malah bencana ini dapat melumpuhkan ekonomi. Orang yang tinggal di kawasan yang berisiko tinggi untuk banjir harus peka dengan setiap amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Beberapa tindakan awal harus segera diambil sebelum menghadapi banjir, perkara ini bagi minimunkan jumlah kerosakan dan kehilangan nyawa ketika banjir.
Dalam pada itu, sejak Ogos lalu hujan lebat mula melanda beberapa kawasan di seluruh negara bermula bulan lalu.
Umum sedia maklum, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) baru-baru ini telah mengeluarkan amaran bahawa Malaysia akan mengalami hujan lebat yang berterusan pada pertengahan November. Ini juga akan membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan tersebut.
Menurut laporan, cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan oleh kerana Monsun Timur Laut aktif pada tempoh berkenaan. Risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.
Di Kelantan khususnya, kejadian ribut dan hujan lebat pada bulan Ogos merupakan salah satu petanda awal fasa peralihan monsun.
Keadaan itu dapat dilihat semasa ribut yang melanda Kota Bharu dan beberapa daerah di Kelantan pada 25 Ogos lalu.
Hujan lebat dalam tempoh 10 minit dengan ribut kuat telah menyebabkan empat khemah besar peniaga yang menyertai Festival Kelantan 2022 di Kota Bharu diterbangkan angin.
Meskipun hanya berlaku dalam tempoh yang singkat, keadaan tersebut menyebabkan peniaga mengalami banyak kerugian.
Keadaan tersebut menunjukkan bahawa banjir pada musim monsun berkemungkinan berlaku lebih awal sebelum penghujung tahun ini susulan cuaca tidak menentu.
Ia juga dapat dibuktikan apabila berlaku banjir luar jangka di Kelantan yang berlaku pada penghujung Februari lalu sehingga mengakibatkan daerah Pasir Mas, Tumpat, Kuala Krai, Machang dan Jeli terjejas.
Jika diikutkan tahun sebelum ini, kawasan-kawasan tersebut hanya terjejas dan berlaku banjir pada bah bermula November sehingga Disember setiap tahun.
Mengulas mengenai kejadian banjir di Kelantan, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Penguasa Kanan Bomba II Mohd. Wildan Azhari berkata, berdasarkan situasi semasa, banjir pada tahun ini boleh berlaku bila-bila masa.
Menurutnya, ia dapat dilihat berdasarkan trend hujan yang berlaku di Kelantan secara tidak menentu bermula Ogos lalu.
Katanya, sehubungan itu, JBPM Kelantan mengambil iktibar daripada kejadian kepala air di Baling, Kedah baru-baru agar musibah yang sama dapat dielakkan daripada berlaku di negeri ini.
Dalam pada itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sudah melakukan 90 peratus persediaan untuk menghadapi bencana banjir yang dijangka berlaku bermula November ini ekoran musim tengkujuh.
Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusof berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah bersedia daripada segi bekalan barangan bantuan.
Menurutnya, seramai 5,067 pegawai JKM dan 195 pegawai psikologi dan kaunselor sedia membantu melaksanakan intervensi krisis dan psikologi kepada mangsa dan petugas bencana.
1 Rumah, 1 Beg Kecemasan
Berikut pula adalah perkara yang paling penting perlu disediakan sebelum bencana banjir melanda, iaitu beg kecemasan untuk setiap rumah yang penuh dengan barangan seperti:
- Dokumen penting.
- Air.
- Radio mini mudah alih berbateri.
- Kit kebersihan.
- Telefon dan powerbank.
- Wang ringgit.
- Pakaian, kasut dan selimut.
- Lampu suluh dan bateri.
- Kit Bantuan Kecemasan & ubat-ubatan.
- Wisel.
- Makanan tahan lama.