Ramai pengguna Internet kita tak peduli keselamatan siber: CSM

CSM adalah pusat pakar teknikal keselamatan siber di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. - Gambar hiasan

CyberSecurity Malaysia (CSM) mendapati ramai pengguna Internet di negara ini yang tidak cakna, naif dan bersikap tidak peduli mengenai kepentingan keselamatan siber sehingga terpedaya dan menjadi mangsa jenayah siber.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah CSM, Jen (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamed berkata, perkara itu masih berlaku sekalipun banyak usaha dilakukan kerajaan baik dalam bentuk peringatan mahupun kesedaran untuk mereka.

Memetik laporan Bernama beliau dilaporkan berkata, kerjasama secara bersepadu dan sokongan semua pihak amat diperlukan untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada rakyat mengenai kepentingan keselamatan siber.

“Dalam konteks ini, media merupakan antara ejen kolaborator yang sangat penting bagi penyebaran maklumat mengenai pelbagai tindakan, inisiatif dan usaha kerajaan memperkukuh bidang keselamatan siber negara,” katanya ketika berucap bersempena Program CyberSafe Bersama Media, di ibu negara, hari ini.

CSM adalah pusat pakar teknikal keselamatan siber di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Pada majlis itu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menerima penghargaan ‘Media Paling Menyokong’ tahun 2019 bagi kategori Organisasi, yang diterima Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Mokhtar Hussain.

Bernama.com pula menerima penghargaan bagi kategori Dalam Talian, manakala Bernama TV untuk kategori Televisyen. Selain itu, Raziyaza Mohammed dan Erda Khursyiah Basir merupakan dua wakil Bernama meraih penghargaan sebagai ‘Pengamal Media Paling Menyokong’.

POPULAR