Ramai bagi alasan hantar baju, kuih raya kena patah balik

Hantar baju raya dan kuih kepada rakan menjadi antara alasan utama orang ramai hendak merentas negeri dan daerah tanpa memiliki surat kebenaran polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya mengesan pengguna jalan raya yang memberi alasan sedemikian dan mengarahkan mereka berpatah balik.

Bernama melaporkan beliau sebagai berkata bagi pemandu yang ingkar, tindakan kompaun akan dikenakan serta-merta tanpa kompromi.

“Kami sudah mulakan sekatan jalan raya daripada semalam (9 Mei) dan mendapati setakat ini masih ramai pengguna jalan raya yang berdegil untuk merentas negeri dengan tujuan tidak sepatutnya dan mereka diarahkan untuk berpatah balik.

“Antara alasan mereka seperti hantar baju ke rumah kawan di Shah Alam, beli barang, bawa keluarga untuk beli-belah di kawasan Shah Alam,” katanya selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) di KM34 Lebuhraya Persekutuan malam tadi.

Beliau berkata, bagi melancarkan pergerakan lalu lintas waktu hari bekerja, pihaknya akan membuka laluan tambahan namun pemeriksaan ketat tetap dijalankan seperti biasa.

Mohamad Fakhrudin turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada Sabtu lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua aktiviti rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 10 Mei hingga 6 Jun ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR