Rakyat minta KWSP RM10,000, tapi BN, UMNO beri Covid 10,000

Tanda pagar kerajaan Barisan Nasional dan UMNO gagal – #kerajaanBNUMNOgagal – beredar dan sohor di media sosial susulan jumlah kes Covid-19 hari ini hampir menyamai dengan kadar tuntutan pengeluaran akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Pada masa sama tanda pagar #prnjohortolakBNUMNO dan #baliktolakBNUMNO turut tular di media sosial bersama poster yang menunjukkan rakyat meminta pengeluaran khas RM10,000 bukannya 10,000 kes Covid-19.

Salah satu poster itu menulis “Yang rakyat minta KWSP 10,000, yang kerajaan BN/UMNO bagi 10,089 kes Covid-19”.

Isu tuntutan pengeluaran khas RM10,000 diperjuangkan Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki, namun Kerajaan Pusat pimpinan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak melayannya.

Disember tahun lalu, Ismail Sabri berkata kerajaan tidak akan membenarkan lagi pengeluaran simpanan KWSP setelah I-Citra tamat kerana ada banyak lagi bantuan yang telah diberikan kepada rakyat.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan bimbang dengan jumlah baki simpanan dalam akaun pencarum KWSP susulan dua kali pengeluaran menerusi i-Sinar dan i-Citra, akan ada yang berisiko menjadi miskin tegar selepas bersara.

Bagaimanapun, Asyraf terus menggunakan pemimpin kanan UMNO termasuk Ahli Parlimen Bagan Datuk Zahid Hamidi serta Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak, untuk mendesak kerajaan meluluskan bayaran itu.

Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MoF) telah beberapa kali memberi penjelasan lengkap kenapa pengeluaran khas RM10,000 itu tidak boleh dibenarkan.

Keputusan MoF itu juga mendapat sokongan pelbagai kesatuan sekerja yang turut bimbang simpanan hari tua ahli-ahli mereka akan terjejas.

31 Januari lalu Zahid berkata desakan UMNO berhubung pengeluaran wang KWSP itu tiada kaitan dengan isu politik.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan jumlah jangkitan harian dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi meningkat kepada 10,089 kes, berbanding 9,117 kes semalam.

BERITA BERKAIT
POPULAR