Rakyat Kelantan seakan kebal Covid-19, pematuhan SOP gagal, kata Exco

Kelantan berdepan varian Afrika Selatan B.1.351 dengan kadar yang sangat tinggi.

Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan langsung tidak dihiraukan rakyat di Kelantan, malah mereka seakan kebal daripada dijangkiti virus membunuh Covid-19 itu, kata Dr Izani Husin.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri itu berkata jangkitan kes Covid-19 di Kelantan dijangka meningkat sekurang-kurangnya 700 hingga 800 kes sehari jika perkara ini berterusan.

“Kita tidak nampak yang angka kes akan turun sehari dua ini.

“Ini kerana SOP kita gagal, baik peniaga, masjid, kedai, rakyat semua sekali; seolah-olah Covid-19 tidak wujud dan berjangkit,” katanya lapor portal akhbar tempatan.

Dr Izani yang ditemui wartawan di pejabatnya di Kompleks Darul Naim itu menjelaskan lebih parah lagi apabila orang ramai di negeri tersebut berdegil dan mereka tidak menghiraukan pandangan pakar yang menasihati supaya mematuhi SOP yang ditetapkan untuk mengelak daripada dijangkiti.

Beliau berkata, sebaliknya orang ramai lebih ‘selesa’ mengikut pandangan sendiri dan baru-baru ini hampir semua penduduk di Kampung Pauh Lima dijangkiti wabak tersebut selepas mengendahkan supaya menghadkan penggunaan masjid.

Katanya, penduduk terus berkumpul dengan tidak ikut SOP dan akhirnya satu kampung positif Covid-19.

“Begitu juga dengan apa yang berlaku di kawasan Kepulauan Tumpat, apabila ada pihak yang sanggup lari daripada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan sebarkan virus itu, kesannya satu kampung dijangkiti,” katanya.

Beliau juga merayu kepada rakyat Kelantan supaya patuh kepada SOP dengan mengamalkan kuarantin kendiri di rumah masing-masing dan hanya keluar apabila perlu sahaja.

Katanya, jika kuarantin kendiri terus diamalkan kelak jangkitan Covid-19 berjaya diturunkan.

POPULAR
Kes penghantar makanan pukul pelanggan hina Islam, 6 ditahanJune 12, 2021
LHDN tunggu Najib bayar cukai selama 8 bulan sebelum isytihar bankrapJune 11, 2021
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Tempoh darurat: Kerajaan ambil kira rakyat sebelum nasihat AgongJune 12, 2021
Lebih 4.2 juta sudah terima vaksin Covid-19, kata Menteri KesihatanJune 12, 2021
Kerajaan kaji tetapkan harga siling minyak masak botol 5kgJune 12, 2021