Raja Perlis perkenan masjid terus baca Qunut Nazilah 7 hari 7 malam

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengarahkan semua masjid di negeri itu membaca Qunut Nazilah pada rakaat terakhir setiap solat fardu selama tujuh hari berturut-turut, bermula solat Jumaat hari ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah arahan tersebut mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa pencerobohan dan serangan tentera Israel ke atas rakyat Palestin beribadah di Masjid Al-Aqsa pada 7 Mei lalu.

“Dengan kurnia limpah perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah meneliti perkembangan semasa tindakan pencerobohan dan serangan oleh tentera Israel dan pendatang haram Yahudi ke atas Rakyat Palestin dan umat Islam yang beribadah di Masjid Al-Aqsa pada 7 Mei 2021.

“Dengan bertauhid dan bertawakkal kepada Allah, adalah dengan ini diperintahkan kepada semua masjid-masjid di Negeri Perlis untuk meneruskan lagi bacaan Qunut Nazilah pada rakaat terakhir solat 5 waktu selama 7 hari dan 7 malam bermula daripada Solat Jumaat 14 Mei 2021 sehingga Solat Jumaat 21 Mei 2021.

“Lafaz doa Qunut Nazilah yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah seperti yang dilampirkan,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Raja Muda Perlis bertitah, pencerobohan dan serangan tentera Zionis ke atas masjid yang ketiga paling suci dalam Islam, ketika umat Islam sedang beriktikaf dan bertarawih bagi menghidupkan 10 hari terakhir dalam bulan Ramadan serta dalam suasana Syawal, merupakan tindakan kejam lagi tidak berprikemanusiaan.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Perlis tercinta agar turut memperuntukkan doa kesejahteraan dan keselamatan buat saudara kita di Palestin,” titah baginda.

Contoh doa qunut untuk umat Islam di Palestin.

BERITA BERKAIT
POPULAR