
Rafizi Ramli.
Isu laporan berhubung kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang sebelum ini didakwa fitnah perlu ditanya kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memberi jawapan tersebut selepas ditanya wartawan berhubung kenyataan Fahmi sebelum ini menyelar laporan penganalisis mengenai ramalan kenaikan OPR oleh sebuah media, namun baru-baru ini Bank Negara (BNM) mengumumkan kenaikan kadar tersebut.
“Saya tak tahu, itu mungkin kena tanya dia (Fahmi). Selalunya media juga yang bertanyakan soalan. Maksudnya kita kena berlaku adil kepada semua termasuk menteri. Kadang kala apabila ditanya, apa yang kita (menteri) tahu masa itu, itulah (yang dijawab). Keputusan tetap dibuat oleh BNM.
“Yang membabitkan Fahmi (sebelum ini), itu bergantung kepada tafsiran masing-masing. Berita ditulis itu, bagi pandangan sesetengah orang, seolah-olah mengesahkan ada kenaikan OPR, sedangkan pada ketika itu masih belum ada keputusan,” katanya dipetik BH.
Rafizi terdahulu menghadiri Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pandan 2023 di Dewan Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah hari ini.
Rafizi berkata demikian ketika menjawab soalan media mengenai kenyataan Fahmi yang menyifatkan satu laporan dikeluarkan Berita Harian (BH) mengenai jangkaan kenaikan OPR seawal Julai depan sebagai satu fitnah.
Namun, selepas BNM mengumumkan kenaikan sebanyak tiga peratus pada Rabu lalu, ramai membidas kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
Rafizi berkata, beliau melihat kenyataan Fahmi itu sekadar satu teguran supaya tidak timbul fitnah berikutan isu berkenaan.
“Saya rasa daripada perspektif itu, dia menegur. Itu hak dia. Saya sendiri tidak begitu memberikan komen mengenai OPR. Saya tumpu kepada inflasi kerana itu yang ada dalam sasaran kita, untuk menurunkan kadar inflasi.
“Kita juga tumpu soal defisit, dalam usaha mengurangkan hutang negara. Inilah bentuk kerjasama kerajaan dengan BNM,” katanya.