
Rafizi Ramli membuat siri pendedahan berhubung skandal Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Rafizi Ramli bakal mendedahkan pembelian barang perang dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang boleh dibeli di 7-Eleven yang tidak ada kena mengena dengan pembinaan kapal perang milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Timbalan Presiden PKR itu mendakwa memiliki senarai peralatan yang di beli dengan sejumlah peruntukan RM1.7 bilion untuk membina enam kapal tidak siap tersebut yang juga boleh didapati di kedai runcit 7-Eleven
“Tunggu Isnin, saya akan sebut barang jenis apa dibeli dengan RM1.7 bilion (peruntukan untuk membina LCS itu).
“Ada yang tak ada kena-mengena dengan perang pun, yang kita boleh beli dari 7-Eleven,” katanya semasa majlis pelancaran trak #AyuhMalaysia di Wangsa Maju malam tadi.
Rafizi sebelum ini juga membuat pendedahan dengan menamakan beberapa pemimpin UMNO yang terlibat dalam skandal LCS yang terdiri daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan sekarang, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Susulan itu, kerajaan bertindak menyahklasifikasi dokumen berhubung perolehan LCS dan terbukti terdapat nama pemimpin UMNO yang terlibat secara langsung dalam mengatur projek kapal itu.
Presiden UMNO, Zahid didedahkan dalam dokumen itu menandatangani dalam satu surat yang menyokong perolehan itu diberikan kepada kontraktor pilihannya walaupun pada awalnya menafikan terlibat dalam meluluskan projek tersebut.
Ia sekaligus mengesahkan dakwaan Rafizi terdapat pemimpin utama parti itu yang terlibat dalam skandal tersebut yang didedahkan kepincangannya oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini.
Rafizi juga mendakwa skandal tersebut adalah sesuatu yang dirancang oleh ‘jerung’ yang mempunyai kuasa dalam projek LCS di luar pasukan keselamatan negara.
Kuasa yang ada pada ‘jerung’ itu, tambah Rafizi, termasuk melantik kontraktor, menentukan spesifikasi projek, membuat bayaran pendahuluan dan mempunyai wang tunai untuk disalurkan ke luar negara sebelum penghantaran kapal dibuat.
“Saya tengok LCS ini, dua tiga minggu ini memang ada dakwaan. Seorang dah kena dakwa dan saya rasa ada akan kena dakwa lagi.
“Setakat ini saya tahu semua ini melibatkan bekas tentera laut. Dia kata semua yang tamak itu bekas tentera laut, masalahnya ia melebihi kebolehan gred gaji mereka.
“Selapis demi selapis kebenaran terbongkar, apabila kita tengok syarikat palsu dengan secara tersusun cuba meniru nama syarikat yang betul-betul wujud, palsukan dokumen dan alat dibeli di syarikat wujud tapi barang diambil tak ke mana-mana dihantar, kemudian invois pun tak ke mana-mana,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga berkata skandal berkenaan membabitkan syarikat-syarikat luar pesisir untuk membawa duit keluar.
Untuk rekod, pemberian kontrak pembekalan enam kapal LCS itu diberikan ketika Barisan Nasional (BN)/UMNO memerintah iaitu bermula dengan surat anugerah pada 2011 disusuli penyerahan kontrak kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) pada 2014.
Ketika itu, Najib menjadi Perdana Menteri, manakala Zahid sebagai Menteri Pertahanan mulai 2009 hingga 2013, sebelum digantikan Hishammuddin.