
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Aminuddin Yahaya membidas kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz berhubung penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam.
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyelar kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz yang memperlekeh inisiatif kerajaan menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam.
Pengerusinya Aminuddin Yahaya berkata arahan kerajaan menggunakan bahasa Melayu bukan bermaksud bahasa Inggeris diketepikan sama sekali.
“Saya tidak fikir langkah kerajaan akan meminggirkan bahasa Inggeris seolah-olah pelabur-pelabur asing tidak boleh berkomunikasi dengan pegawai kerajaan dan akhirnya lari.
“Sepatutnya agenda pemerkasaan bahasa adalah agenda nasional yang perlu disokong penuh.
“Jika ada cadangan dan teguran, utarakanlah dengan konstruktif. Bukannya menggelupur tak tentu pasal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Rafidah menyifatkan Malaysia ‘syok sendiri’ kerana melaksanakan arahan sedemikian dan menganggap usaha berterusan oleh kerajaan sebagai satu pemikiran ‘mundur’.
Baginya hanya kebolehan berbahasa Inggeris akan menunjukkan kecekapan pegawai berkomunikasi, sekali gus menjadi pendorong utama dan faktor dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi, terutama dalam bidang dan sektor yang disasarkan dan strategik.
Mengulas lanjut, Aminuddin hairan kerana Rafidah kerap menyebut ‘kejayaan’ beliau ketika zaman menjadi menteri dahulu.
“Entah apa yang hebatnya sangat pencapaian beliau pun saya tak tahu. Saya rasa beliaulah sebenarnya yang ‘syok sendiri’.
“Kita sudah hidup pada tahun 2022; zaman masing-masing bangga menonjolkan bahasa sendiri di peringkat antarabangsa. Saya rasa beliaulah sebenarnya yang kolot,” katanya.
Menurutnya beliau tidak fikir langkah kerajaan ini akan meminggirkan Bahasa Inggeris seolah-olah pelabur asing tidak boleh berkomunikasi dengan pegawai kerajaan dan akhirnya lari.
Sepatutnya, Aminuddin berkata agenda pemerkasaan bahasa adalah agenda nasional yang perlu disokong penuh.
“Jika ada cadangan dan teguran, utarakanlah dengan konstruktif, bukannya menggelupur tidak tentu pasal,” katanya.