Putrajaya tak sekat kerajaan negeri beli vaksin tapi mesti lulus NPRA

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut membantu kelancaran program imunisasi di WTCKL.– Gambar Agenda Daily, 15 Mei, 2021.

Putrajaya menafikan dakwaan menyekat kerajaan negeri membeli bekalan vaksin sendiri tetapi vaksin tersebut perlu diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) itu berkata kerajaan pusat tidak pernah menghalang inisiatif kerajaan negeri yang mahu membeli vaksin bagaimanapun jenis vaksin tersebut perlu mendapat kelulusan NPRA bagi memastikan ia selamat digunakan.

“Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) ingin mengulangi komitmen pembekalan vaksin yang percuma dan mencukupi kepada semua individu yang layak di setiap negero bagi pelaksanaan PICK.

“Selain daripada komitmen ini, negeri-negeri juga dibenarkan untuk menjalankan inisiatif pembelian bekalan vaksin mereka sendiri dengan syarat vaksin yang dibeli perlu mendapat kelulusan daripada NPRA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairy juga menjelaskan perjanjian dengan syarikat farmasi sudah bersetuju untuk mendahulukan pembekalan kepada kerajaan persekutuan supaya program imunisasi dapat dilaksanakan terlebih dahulu sebelum disalurkan syarikat farmaseutikal kepada pihak lain, termasuk kerajaan negeri, pemain industri atau hospital swasta.

“Berdasarkan syarat perjanjian di antara kerajaan persekutuan dengan syarikat pengeluar vaksin berkenaan, pembekalan stok vaksin yang ditempah perlu dan akan didahulukan kepada kerajaan persekutuan,” katanya lagi.

Kenyataan Khairy itu sekaligus menyangkal tuduhan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang kerajaan negeri itu ditawarkan dua juta dos vaksin Sinovac secara percuma, tetapi Putrajaya tidak membenarkan mereka menggunakan vaksin itu.

Chow berkata, pihaknya menulis surat kepada Kementerian Kesihatan Februari lalu, ketika tawaran vaksin itu pertama kali dibuat, tetapi KKM menolaknya.

Khairy berkata, CITF mengalu-alukan sebarang usaha mana-mana pihak yang ingin membantu PICK dengan menyumbang bekalan dos vaksin kepada PICK atau negeri dan buat ketika ini hanya tiga jenis vaksin sahaja dibenarkan ketika ini.

“Buat masa ini, tiga vaksin yang mendapat kelulusan NPRA adalah Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.”

Mengenai laporan Putrajaya merampas sumbangan 200,000 vaksin Sinovac dari Yayasan Sekhar, beliau berkata, pemeriksaan dengan Pharmaniaga dan rakan sejawatan dari China mendapati tiada dokumen rasmi mengenai permintaan atau pembelian dari yayasan itu.

Katanya, sebuah jawatankuasa pakar sedang menilai kesesuaian untuk memanjangkan jangka masa antara dos vaksin, selepas Singapura mengumumkan ia sedang mengkaji cadangan itu untuk membolehkan lebih ramai orang mendapatkan suntikan pertama mereka lebih awal.

Mengenai kesesakan di pusat vaksinasi, beliau menasihati mereka yang sudah mendaftar tidak datang terlalu awal untuk janji temu mereka untuk mengelakkan kesesakan.

POPULAR
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Malaysia sedang bangunkan dua vaksin Covid-19 sendiriJune 12, 2021
Polis tahan lori bawa 48 pekerja kilang proses ayam positif Covid-19June 14, 2021
Masjid tak ditutup, aktiviti hanya ditangguh, kata Mufti KelantanJune 13, 2021
Agong yakin langkah kerajaan tadbir negara, tangani Covid-19June 13, 2021
PM yakin Kuala Lumpur capai imunisasi kelompok menjelang 31 OgosJune 13, 2021