
Pemandu pengangkutan awam termasuk perkhidmatan e-hailing di Lembah Klang akan menerima vaksinasi hujung bulan Ogos.
100,000 pemandu pengangkutan awam termasuk perkhidmatan e-hailing di Lembah Klang akan diberikan vaksin Covid-19 menjelang hujung Ogos depan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kumpulan tersebut tidak dipinggir dalam program vaksinasi yang sedang berjalan dan langkah tersebut akan dapat memastikan sasaran imunisasi kelompok dapat tercapai.
“Pemberian vaksin kepada kelompok itu akan terus dirancakkan memandang mereka juga adalah golongan barisan hadapan yang bekerja dari awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga hari ini.
“Kita akan serahkan senarai nama mereka yang berkhidmat di sektor pengangkutan awam ini kepada urusetia Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan jika ada kekosongan mereka diberi keutamaan,” katanya lapor Bernama hari ini.
Katanya pihak kementerian berpuas hati dengan peningkatan kadar vaksin bagi mereka terlibat dalam pengangkutan awam yang dibuat dalam kelompok besar sekarang ini.
Beliau berkata demikian ketika penyerahan bakul makanan kepada penduduk terjejas di sekitar Parlimen Ayer Hitam.
Mengulas mengenai sumbangan bakul makanan di kawasannya, Wee berkata pihaknya telah menyalurkan sebanyak 5,000 bantuan kepada mereka yang memerlukan selain memastikan tidak berlaku keciciran.
Katanya, agihan sumbangan berkenaan dilaksanakan dengan bantuan daripada petugas khas yang terdiri daripada ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ketua kampung.
Penerima bakul makanan Mohd Urat Mohd Amin, 57, berkata bantuan yang diterima bertepatan kerana rakyat kini terkesan dan kebanyakannya tiada pekerjaan setelah penularan pandemik Covid-19 ini.